PETALING JAYA: Beregu No. 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan pasangan campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai menjadi kumpulan atlet terakhir yang menyertai program Road To Gold (RTG) bagi kitaran 2025.
Menteri Belia dan sukan, Hannah Yeoh dalam satu kenyataan berkata keempat-empat atlet elit itu telah bersetuju dengan menyatakan komitmen mereka terhadap program tersebut.
“Melalui RTG, keempat-empat pemain ini akan menerima sokongan prestasi yang menyeluruh bagi membantu mereka bukan sahaja untuk layak ke Sukan Olimpik 2028, malah mencipta sejarah untuk Malaysia di Los Angeles.
“RTG sentiasa menyokong atlet yang memenuhi kriteria program ini dan kami berharap sokongan tambahan ini akan menyemarakkan lagi usaha mereka dalam mengejar kecemerlangan tahun ini,” kata Hannah.
Majlis menandatangani perjanjian bersama kedua-dua pasangan itu semalam turut disaksikan Penyelaras Projek RTG, Datuk Stuart Ramalingam.
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menjadi satu-satunya atlet yang tidak menyertai program RTG selepas dia menolak tawaran tersebut atas faktor peribadi.
Senarai atlet yang telah disahkan menyertai Program RTG 2025 termasuk lapan pemain badminton iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M Thinaah, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei serta Mohd Aniq Kasdan (angkat berat), Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) dan S Sivasangari (skuasy).
Bagi Program Fast Track pula, empat atlet disenaraikan iaitu Ariana Nur Dania, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil dari sukan memanah, serta pemain skuasy lelaki, Ng Eain Yow. – UTUSAN