KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bukan medan ‘Ya, betul YB (Yang Berhormat)’ sepertimana didakwa pembangkang kerana semua pihak diberi peluang terlibat semasa sesi persidangan.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, semua wakil rakyat pembangkang terutama Ketua Pembangkang, Mohd. Syahbuddin Hashim sentiasa diberi peluang sama ada untuk berucap, mengemukakan dan bertanya soalan atau berbahas semasa persidangan.
“Kita beri keutamaan kepadanya untuk berucap dengan masa 20 hingga 30 minit. Jadi tidak berbangkit soal beliau tiada peluang bercakap, bertanya dan kemuka soalan. Tiada masalah.
“Saya rasa masa 30 minit cukup panjang untuk beliau (Mohd. Syahbuddin) kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri juga dapat tempoh masa sama. Semua sama rata,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini, semalam.
Mohd. Amar berkata, setakat ini beliau sentiasa memberi peluang kepada semua ADUN pembangkang untuk bercakap dalam persidangan DUN Kelantan dengan tempoh masa munasabah mengikut bilangan pembangkang dalam Dewan negeri.
“Kadangkala saya beri keutamaan kepada ADUN pembangkang berbanding ADUN kerajaan negeri sendiri dan saya harap pada masa akan datang, semua ADUN mematuhi prosedur ditetapkan supaya persidangan DUN Kelantan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Beliau (Mohd. Syahbuddin) mahu masa selama mana lagi sedangkan hanya ada tiga ADUN pembangkang. Kita sudah beri tempoh masa munasabah sepertimana dibuat dalam Parlimen. Sama sahaja,” katanya.
Sebelum ini, Mohd. Syahbuddin berkata, sidang DUN sepatutnya menjadi tempat menyemak dasar dan menjaga integriti kerajaan tetapi berdasarkan pengalaman pihak pembangkang, kebanyakan masa ia menjadi medan ‘Ya, betul YB’ sahaja.-UTUSAN










