LONDON: Peluang Mohammed Ben Sulayem untuk memenangi jawatan Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) tanpa bertanding cerah selepas Carlos Sainz Sr tidak berhasrat untuk merebut kerusi No. 1 badan induk itu.
Sainz merupakan juara dunia rali dua kali dan bapa kepada pemandu Formula Satu (F1) pasukan Williams yang mempunyai nama sama dengannya sebelum ini pernah berkata, bahawa dia sedang mempertimbangkan untuk menentang Ben Sulayem dalam pemilihan Disember ini.
Keputusan untuk tidak meneruskan pencalonan itu akan membolehkan Sainz kembali bersaing dalam Rali Dakar di Arab Saudi bersama Ford pada Januari depan.
Sehingga kini, tiada calon lain yang telah mengisytiharkan pencalonan selain Ben Sulayem.
“Hai semua. Mesej ini adalah untuk mengesahkan secara rasmi bahawa saya akhirnya memutuskan untuk tidak bertanding bagi jawatan presiden FIA dalam pemilihan tahun ini.
“Saya telah bekerja keras dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk memahami secara mendalam situasi di FIA serta tuntutan dan kerumitan yang datang bersama projek penting seperti ini.
“Selepas pertimbangan yang mendalam, saya telah membuat kesimpulan bahawa keadaan semasa tidak sesuai untuk meletakkan asas bagi pencalonan saya,” kata Sainz di platform X.
Sainz berkata keinginannya untuk berkhidmat dan memimpin masih kuat dan dia tetap percaya bahawa organisasi itu perlu melakukan beberapa perubahan penting dengan harapan ia akan berlaku pada masa akan datang.
Ben Sulayem yang mengesahkan pada Mei lalu bahawa dia akan bertanding untuk penggal kedua merupakan figura kontroversi yang pernah bertelagah dengan pasukan dan pemandu dalam F1 serta sukan rali. – AGENSI