ORLANDO: Ketua jurulatih Benfica, Bruno Lage mengakui dia terpaksa mengharungi hari yang panjang untuk melihat pasukannya membenam Auckland City 6-0 dalam aksi Piala Dunia Kelab, kelmarin.
Kelab Portugal itu mendahului satu gol pada babak pertama namun perlawanan tersebut terpaksa ditangguhkan kerana ribut dan hanya bersambung semula dua jam kemudian.
“Ini adalah perlawanan terpanjang dalam karier saya, terima kasih istimewa kepada penyokong kami yang berada di sini selama lima jam menyokong pasukan. Kami bermain sebaik mungkin. Suhu (panas) membuatkan ia sangat mencabar,” katanya.
Auckland dari New Zealand, satu-satunya wakil Konfederasi Bola Sepak Oceania dalam kejohanan sebelum ini dibelasah 10-0 oleh Bayern Munich dalam aksi pembukaan Kumpulan C dan kekalahan tersebut mengesahkan penyingkiran mereka.
Sementara itu, jurulatih Auckland, Paul Posa kembali bersama pasukan selepas menjalani pembedahan kecil yang menghalangnya menyertai pasukan lebih awal berkata, walaupun tersingkir namun kelabnya akan berjuang dalam aksi terakhir menentang Boca Juniors, Selasa ini.
“Kami jarang mendapat peluang seperti ini, sangat jarang untuk bermain menentang pasukan berkualiti seperti ini, hampir tidak pernah berlaku dan mungkin mengambil masa yang lama sebelum ia berlaku lagi.
“Jadi kami tidak akan menyerah kalah atau memberi kelebihan kepada Boca. Kami akan memberikan segalanya, 100 peratus jaminan itu,” katanya. – AFP