Bukan Hakim, Qabil sahaja jadi mangsa taktik 'slipstream

Bukan Hakim, Qabil sahaja jadi mangsa taktik ‘slipstream

Detik mencemaskan berlaku sewaktu Hakim Danish (No. 13) bersaing rapat dengan pelumba Sepanyol, Brian Uriarte menuju ke garisan penamat dengan perbezaan masa hanya 0.007 saat pada Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Motorland Aragon, Sepanyol, awal Jun. - FB ZK Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara taktik ‘slipstream’, pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mendapat jolokan Mr. P2 dan nasib serupa turut menimpa pelumba cilik, Qabil Irfan Azlan yang berdepan taktikal sama pada Kejuaraan Superbike Sepanyol 2025 di Motorland Aragon, Sepanyol, hujung minggu lalu.

Namun begitu, bagi Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, perkara tersebut merupakan satu insiden biasa yang berlaku di dalam perlumbaan berkelas ‘lightweight’.

“Pasal ‘slipstream’ ini, ia adalah satu perkara penting dalam kategori kelas ‘lightweight’ di mana kalau motosikal tak laju, bantuan melalui ‘slipstream’ ini memang sangat penting.

“Sebab itu kalau kita tengok dekat Kejuaraan Dunia, Moto3 pun benda ni berlaku dan ia bukan berlaku pada (Hakim) Danish dan Qabil (Irfan) sahaja, ia berlaku pada pasukan-pasukan lain juga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Untuk makluman, taktik ‘slipstream’ ialah merujuk kepada teknik memanfaatkan daya seretan (drag) di belakang motosikal pesaing yang bertujuan meningkatkan kelajuan tanpa menambah kuasa enjin.

Apabila motosikal bergerak laju, ia menghasilkan arus angin dan tekanan rendah di mana pelumba berada rapat di belakang akan memasuki zon tekanan rendah dipanggil ‘slipstream’ yang membolehkan jentera bergerak lebih laju terutama ketika memintas di laluan lurus.

Justeru, Zulfahmi berkata, taktik tersebut sama seperti sukan berbasikal di mana semua pelumba apabila menuju ke garisan penamat, rata-rata dalam kalangan mereka enggan mendahului kerana mahu menggunakan tenaga sepenuhnya ketika di garisan penamat.

“Sama seperti motosikal, mereka juga ada taktik-taktik yang kadang-kadang berjaya, kadang-kadang tak berjaya.

“Jadi, ini adalah satu perkara yang kita tak boleh elakkan walau macam manapun strategi kita susun, ia tetap bergantung kepada pelumba yang akan mengubah posisi mereka dalam perlumbaan,” katanya.

Kata bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu, kelihatannya seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan sahaja yang berdepan isu tersebut, tetapi, ia sebenarnya turut menimpa ramai pelumba lain.

Bagaimanapun, Zulfahmi berkata, bukan semua saingan berdepan cabaran yang sama dan anak-anak buahnya juga memerlukan sedikit tuah mengiringi mereka untuk menjuarai perlumbaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN