Beregu lelaki negara takluk ranking 1-2 dunia

Beregu lelaki negara takluk ranking 1-2 dunia

AARON Chia-Soh Wooi Yik ketika meraikan kemenangan mereka ke atas pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada perlawanan akhir Terbuka Singapura, baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia melakar sejarah terulung dalam arena badminton dunia apabila buat julung kalinya menakluk kedudukan satu-dua ranking beregu lelaki, disusuli kejayaan bersejarah beregu wanita memecah masuk kelompok tiga terbaik dunia.

Gandingan utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani gah mempertahankan status selaku pasangan No.1 dunia dengan mengumpul 91,090 mata manakala juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merampas kembali kedudukan nombor dua (89,870 mata).

Mata ranking itu menyaksikan dua beregu negara itu hanya dipisahkan dengan hanya 1,220 mata.

“Buat pertama kali dalam sejarah badminton negara, dua beregu lelaki Malaysia menduduki dua kedudukan teratas dalam ranking dunia, Sze Fei–Izzuddin dan Aaron-Wooi Yik di tempat kedua,” kata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi kenyataan rasmi di media sosial milik mereka, hari ini.

Aaron-Wooi Yik mendaki anak tangga ranking dengan pantas dari No.5 dunia selepas mara ke final tiga jelajah berturut-turut sekali gus menjuarai Terbuka Thailand dan Singapura dalam tempoh kurang dari sebulan, Mei lalu.

Juara Asia 2025 berkenaan sebelum ini pernah memegang ranking No.2 dunia pada Januari 2023 namun belum pernah menguasai takhta acara berkenaan.

Dalam pada itu, kejayaan negara diserikan lagi dengan kemaraan luar biasa beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang melonjak ke ranking ketiga dunia dengan 86,066 mata.

Pencapaian itu merupakan yang tertinggi pasangan wanita negara dalam tempoh 16 tahun, selepas aksi final epik pada Terbuka Indonesia di Jakarta, Ahad lalu.

Kali terakhir pasangan wanita negara menduduki ranking tiga terbaik dunia adalah pada 2009, apabila Chin Eei Hui–Wong Pei Tty memegang takhta No.1 beregu berkenaan.

Pearly-Thinaah kini mengintai peluang merampas kedudukan kedua dunia daripada pasangan Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama (87,182 mata) apabila saingan Jelajah Dunia BWF bersambung di Terbuka Jepun bulan hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN