LANGKAWI: Menteri-menteri Pendidikan di ASEAN komited untuk menangani isu keciciran pelajar di rantau itu menerusi tiga intervensi yang dipersetujui oleh semua delegasi terlibat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tumpuan diberikan kepada asas pembelajaran (foundational learning) dengan Malaysia sudah menerajui isu itu melalui perluasan prasekolah.
“Kita juga melihat keperluan daripada segi reformasi terkait rapat dengan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) powered classroom (kelas dikuasakan kecerdasan buatan),” katanya pada Sidang Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan dan Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN, hari ini.
Katanya, intervensi ketiga adalah mengangkat martabat guru dengan kalangan guru perlu diberikan latihan secukupnya untuk memastikan reformasi pendidikan bermula daripada unit paling kecil iaitu di bilik darjah.
Mengulas lanjut, katanya, pihaknya juga sedang melihat untuk meminda dasar pendidikan wajib melibatkan prasekolah dan sekolah menengah bagi mengelakkan keciciran seperti dilaksanakan di Brunei.
Namun begitu, katanya, sebelum melaksanakan dasar pendidikan wajib prasekolah, pihaknya akan memastikan prasarana, guru dan ekosistem prasekolah dalam keadaan terbaik.
Beliau juga menyatakan kalangan guru yang turut bersama dalam forum yang diadakan sempena Kepengerusian ASEAN itu boleh belajar bagaimana negara-negara ASEAN menyelesaikan masalah berkaitan pendidikan di negara masing-masing.
Tambahnya, terdapat negara yang menggunakan intervensi secara undang-undang, polisi dan juga komitmen iltizam politik untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Forum ini turut menekankan penggunaan teknologi sebagai alat bantuan untuk menyelesaikan masalah keciciran tetapi tidak akan mengambil alih peranan guru,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, kementerian akan membentangkan pindaan Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah pada sidang Parlimen akan datang.
Ujar beliau, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh sistem pendidikan negara dan menangani isu keciciran pelajar yang tidak bersekolah.
“Kita akan bawa perkara ini pada sesi Parlimen akan datang dan mudah-mudahan sempat untuk bentangkan pindaan Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah dulu,” katanya.