GEORGE TOWN: Kerajaan diminta mengatasi isu lambakan rumah tidak terjual berjumlah 22,642 unit dengan nilai keseluruhan hampir RM14.24 bilion, setakat tahun lalu.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, hampir 60 peratus daripada harta kediaman itu adalah kondominium dan pangsapuri, manakala rumah teres pula sekitar 24.4 peratus.
Menurutnya, di Pulau Pinang sahaja, sebanyak 13,474 unit hartanah direkodkan tidak terjual menjelang suku ketiga 2024, dengan hampir 70 peratus daripadanya hartanah berharga antara RM300,000 hingga RM500,000.
“Ini membuktikan berlaku lebihan penawaran dalam segmen rumah kos sederhana,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohideen berkata, ketika ini, rumah berharga RM300,000 ke bawah kekal mencatatkan permintaan tinggi meliputi 52.5 peratus daripada jumlah urus niaga kediaman.
Sementara rumah bertingkat tinggi seperti pangsapuri kos rendah hanya mewakili 13.9 peratus, manakala rumah teres kekal menjadi pilihan utama pada kadar 43.1 peratus.
“Perangkaan ini menunjukkan bahawa wujudnya ketidakpadanan serius antara jenis rumah yang dibina dan keperluan sebenar rakyat. Ramai rakyat masih tidak mampu memiliki rumah walaupun dikategorikan sebagai rumah mampu milik,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan tidak lagi wajar diberikan kepada projek perumahan baharu, khususnya melalui aktiviti tebus guna tanah.
Justeru katanya, CAP mencadangkan agar kerajaan menyemak semula dasar pinjaman perumahan, memperkenalkan skim pembiayaan yang lebih fleksibel termasuk mempertimbangkan pendapatan tidak formal serta memperluaskan model sewa untuk dimiliki.
“Perancangan lokasi perumahan juga perlu disusun semula agar benar-benar mesra rakyat dan berdaya huni.
“Masalah ini memerlukan pembaharuan sistemik yang mengutamakan keterangkuman, kebolehcapaian, kecekapan pentadbiran dan kerjasama rentas sektor. Kerajaan mesti bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih parah,” katanya. – UTUSAN