KUALA LUMPUR: Seramai 17 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat berkuat kuasa 7 Julai ini.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Seri Kamaruzaman Abdullah berkata, Ketua Penolong Pengarah E5 Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Datuk Yusni Mohd Jamil mendahului senarai terbabit yang mana beliau dikekalkan pada jawatan sama dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).
Sementara itu, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Wildlife Crime Bureau) Bukit Aman, SAC Mohammad Azlin Sadari dilantik Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat DCP.
“Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Polis (ACP) Wan Mohd Zahari Wan Busu pula dinaikkan pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) dan ditugaskan sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pertukaran lain melibatkan Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi Pulau Pinang, ACP Nasri Jamaluddin yang dilantik Penolong Pengarah E6B Cawangan Khas Bukit Aman.
ACP Zulkiflee Rashid dari Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pula dinaikkan ke jawatan Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus/ Kepolisan Am), JIPS dengan memangku pangkat SAC.
“Ketua Polis Daerah Jasin, Melaka, Superintenden Mohamad Rusli Mat dinaikkan ke jawatan Ketua Polis Daerah Kuantan, Pahang dengan memangku pangkat ACP,” ujarnya.
Turut terlibat ialah Superintenden Noor Azman Amardin yang bertukar dari Cawangan Khas Bukit Aman ke Pulau Pinang sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi negeri berkenaan dengan memangku ACP.
Selain itu, Superintenden Mohd Azizul Rosun Khan akan menjawat jawatan Timbalan Ketua Cawangan Khas Pengurusan dan Koordinasi Sabah, juga dengan pangkat ACP.
“Ketua Unit Saraan dan Gaji, Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Bukit Aman, Superintenden Wan Zulfadli Wan Mustafa dinaikkan ke jawatan Ketua Penolong Pengarah (Kewangan), Jabatan Logistik dan Teknologi dengan memangku ACP,” katanya.
Menurut Kamaruzaman, Superintenden Mohd Razali Abdullah dari JSJ Bukit Aman pula dinaikkan sebagai Penolong Pengarah (D6) Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah.
Turut dinaikkan pangkat ACP ialah Superintenden Ernawati Abdul Wahab yang kini bertugas sebagai Pegawai Turus Pentadbiran di Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur.
“Pertukaran lain termasuk Superintenden Shahrulnizam Ahmad ke Sarawak sebagai Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi; Supt. Md Kamarul Rafiz Kamaruddin sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas Pengurusan dan Koordinasi ke Kedah dan Supt. Gabriel Risut ke Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon I,” ujarnya.
Superintenden Sugemin Zainol pula ke Perak sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi negeri Perak manakala Supt. Ng Kai Seng dilantik ACP SLO Beijing, China.
“Pertukaran turut melibatkan Superintenden Sabarudin Rahmat yang kini menjawat ACP Pentadbiran Jabatan Pengurusan, Sabah,” katanya.
Pertukaran ini, menurut Kamaruzaman, adalah sebahagian daripada proses penyusunan semula organisasi PDRM bagi memperkasa kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh pengurusan keselamatan negara.- UTUSAN