BUKIT MERTAJAM : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mengambil sikap mengunci mulut dan enggan melayan spekulasi berhubung kemungkinan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat.
Beliau sebaliknya mempersoalkan semula kemungkinan itu termasuk berkaitan kebimbangan ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang digugurkan andai rombakan tersebut benar-benar berlaku.
“Iya kah?” soal beliau kepada pihak media ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Peluncuran Masjid Madani Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, hari ini.
Semalam, Anwar secara berseloroh meminta pihak media mengemukakan senarai nama barisan Kabinet yang baharu jika benar berlaku rombakan seperti yang didakwa sebelum ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ketika berucap pada majlis penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) sebelum itu memberi bayangan bahawa akan berlaku rombakan Kabinet dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap agar Perdana Menteri dapat memberikan sokongan penuh kepada penganjuran FOI untuk tahun-tahun akan datang meskipun beliau tidak mengetahui sama ada masih menerajui kementerian itu atau sebaliknya.-UTUSAN.










