Waytha Moorthy mohon maaf kepada PM dan Tengku Maimun

Waytha Moorthy mohon maaf kepada PM dan Tengku Maimun

P. WAYTHA MOORTHY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataan yang telah diucapkan semasa menghadiri satu majlis, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Waytha mengakui kenyataan beliau mengenai perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat adalah tidak tepat dan kesilapan itu berlaku secara jujur tanpa disengajakan.

“Saya ingin membuat penjelasan serta memohon maaf secara terbuka berhubung satu kenyataan yang telah saya ucapkan semasa menghadiri satu majlis bersama media dan penulis blog di Kuala Lumpur semalam. 

“Dalam ucapan semalam, saya telah tersilap menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun Tuan Mat kerana beliau pernah membuat keputusan terhadap Datuk Seri Anwar dalam kes rayuan di Mahkamah Rayuan berdasarkan maklumat yang telah disampaikan kepada saya sebelum ini,” katanya.

Waytha berkata, selepas menyemak semula rekod rasmi kehakiman, beliau mendapati Tun Tengku Maimun Tuan Mat tidak pernah terlibat sebagai panel hakim dalam mana-mana kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana pihak yang telah merakam dan menyiarkan kenyataan tersebut untuk memadam atau menarik balik bahagian berkenaan bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.

“Saya memohon maaf dengan setulus hati kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesilapan fakta tersebut serta sebarang salah tanggapan atau imej negatif yang mungkin telah timbul terhadap beliau akibat kenyataan saya itu.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada semua yang hadir dan mendengar ucapan tersebut, sama ada secara langsung mahupun melalui rakaman atau siaran penstriman. 

“Sekali lagi, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, serta mana-mana pihak yang mungkin terkesan dengan kenyataan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN