KUALA LUMPUR: Seramai 12 individu dilantik sebagai Lembaga Pengasas Majlis dalam Majlis Media Malaysia yang mewakili empat kategori iaitu syarikat media, persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas, serta ahli bukan media.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, selepas lebih 50 tahun memperjuangkan penubuhan Majlis Media Malaysia, akhirnya ia direalisasikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Wartawan telah memperjuangkan perkara ini sejak bertahun-tahun lamanya tetapi akhirnya selepas lebih 50 tahun kita ada Majlis Media Malaysia,” katanya dalam ucapan aluannya pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 di sini, hari ini.
Individu dilantik ialah Wong Yang Yong, Datuk Sardahthisa James, Premesh Chandran Jeyachandran, Ashwad Ismail, Teh Athira Yusof, Ronnie Teo Teck Wei, Mohd. Radzi Abdul Razak dan Muthameez Manan.
Turut dilantik Mohd. Azmyl Md. Yusof, Gayathry S. Venkiteswaran, Celine Lim dan Terence Ooi Guan Tseng.
Fahmi turut mengumumkan inisiatif khas hasil kerjasama Kementerian Komunikasi dengan AirAsia sempena kepengerusian Malaysia untuk ASEAN 2025.
Katanya, Pengerusi AirAsia, Tan Sri Tony Fernandez bersetuju menawarkan diskaun 50 peratus kepada semua 12,297 pemegang Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) warganegara.
“Ini merupakan inisiatif hasil kerjasama strategik Kementerian Komunikasi dan AirAsia. Pihak AirAsia telah bersetuju untuk menawarkan diskaun 50 peratus secara one-off bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik ke mana-mana 57 destinasi di negara anggota ASEAN.
“Tempoh tempahan akan dibuka hingga 31 Disember 2025 manakala tempoh penerbangan (travel period) mulai April hingga September 2026. Butiran dan mekanisme tempahan tiket akan diumumkan oleh Japen dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN