Yamaha gandakan usaha demi kejayaan musim 2025

Yamaha gandakan usaha demi kejayaan musim 2025

PELUMBA Yamaha, Fabio Quartararo berjaya menempah petak pertama dalam GP Perancis, minggu lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LE MANS: Bos Yamaha, Massimo Meregalli mengakui jenama Jepun itu sedang mencuba untuk belajar daripada kedua-dua projek enjinnya dalam MotoGP bagi memperbaiki keputusan musim ini.

Selepas dua tahun yang sukar di mana mereka merosot daripada barisan hadapan, Yamaha telah menikmati peningkatan prestasi pada tahun 2025.

Fabio Quartararo telah meraih dua petak utama daripada enam pusingan pertama dan menamatkan kemarau podium selama dua tahun Yamaha dengan tempat kedua di Grand Prix (GP) Sepanyol.

Ini berlaku ketika Yamaha sedang membangunkan motosikal semasa sambil turut mengusahakan prototaip enjin V4 pertamanya, yang mungkin akan digunakan dalam perlumbaan musim hadapan menjelang perubahan peraturan 850cc pada 2027.

Walaupun Yamaha sedang mengusahakan enjin V4 tersebut, mereka turut membawa versi baharu enjin empat silinder selari ke GP Perancis hujung minggu lalu.

Meregalli berkata kerja yang dilakukan Yamaha adalah kerja dua kali tetapi berharap kedua-dua program enjin itu boleh memberi manfaat antara satu sama lain.

“Spesifikasi enjin baharu ini hanya sedikit lebih berkuasa tanpa sebarang kelemahan kerana kebolehgunaannya adalah lebih penting daripada kuasa,” katanya kepada TNT Sport di GP Perancis selepas Quartararo layak di petak utama.

“Perasaan semua pelumba di Jerez adalah positif. Kami juga menjangkakan perkara yang sama daripada data dan kami dapat mengesahkan spesifikasi enjin baharu ini untuk semua pelumba.

“Kami akan mengadakan ujian di Misano di mana kami akan menilai beberapa komponen baharu. Ia adalah kerja dua kali kerana kami sedang membangunkan motosikal semasa ini tetapi juga yang satu lagi.

“Jadi, kami cuba belajar daripada kedua-duanya. Ia adalah satu usaha luar biasa yang kami semua lakukan bersama-sama. Ia sangat memuaskan, kerana kini kami mula melihat hasil dan itu sangat menggembirakan,” katanya.

Yamaha kini sedang bersaing sengit untuk tempat kedua dalam kedudukan pengeluar bersama Honda, KTM dan Aprilia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN