KUALA LUMPUR: Pemain industri global dan tempatan diseru bekerjasama dengan pengendali perkhidmatan air serta pembetungan dan agensi kerajaan bagi memperkenalkan penyelesaian inovatif, berdaya tahan dalam sektor pengurusan sumber air.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerjasama rentas sektor yang lebih mendalam amat penting bagi mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah pengurusan air mampan serta memastikan keselamatan sumber jangka panjang.
Beliau berkata, pengumuman bersama semalam antara Amazon Web Services (AWS), Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) dan kerajaan negeri Selangor menunjukkan bagaimana penyelarasan antara kerajaan persekutuan dan negeri, serta penyertaan industri, mampu memberi kesan nyata kepada komuniti, industri dan negara.
“Kerjasama ini bersifat transformasi. Ia membuktikan bahawa apabila visi Persekutuan diselaraskan dengan pelaksanaan di peringkat negeri, kita dapat membuka penyelesaian yang memberi impak sebenar kepada rakyat, industri dan negara.
“Inilah bentuk kolaborasi yang diharapkan iaitu kerajaan dan industri bergerak seiring untuk menterjemahkan kelestarian daripada prinsip kepada amalan,” katanya di Majlis Pengumuman Bersama Projek Bekalan Air Terpakai (Reclaimed Water) untuk Malaysia di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Johary Anuar yang mewakili Menteri Besar Selangor dan Pengarah Operasi Pusat Data AWS Asia Pacific, Jepun dan China, Dr. Saji P. K.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, penggunaan air terpakai untuk operasi cloud meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan infrastruktur digital mampan.
Katanya, kerjasama tersebut seiring dengan agenda nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Ekonomi Madani, dan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR 2040).
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia merupakan negara kedua dalam Rantau AWS merangkumi Singapura, Thailand dan Indonesia, yang menggunakan air terpakai, sekali gus menyerlahkan kepimpinan negara dalam inisiatif kitar semula dan tanggungjawab terhadap iklim.
“Bagi menyokong ekosistem ini dengan lebih kukuh, Petra kini sedang memperkemas garis panduan, memudahkan proses kelulusan permit serta membangunkan dasar menyeluruh mengenai air terpakai, di samping merangka peta hala tuju untuk membantu industri beralih kepada sumber air yang lebih mampan.
“Kerajaan juga sedang memperluas laluan bagi pemain industri termasuk pusat data dan sektor strategik lain untuk mengakses tenaga hijau melalui mekanisme seperti Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS), Green Electricity Tariff (GET) dan solar bumbung di bawah skim Self-Consumption,” katanya. – UTUSAN










