Kurang sebulan untuk Aimy beri aksi terbaik

Kurang sebulan untuk Aimy beri aksi terbaik

Atlet gimnastik artistik kebangsaan menjalani rutin latihan harian di gimnasium Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil sebagai persiapan untuk ke Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berdepan persiapan suntuk dan proses pemulihan kecederaan lutut, bukanlah alasan untuk atlet gimnastik artistik negara, Muhammad Sharul Aimy Mohd. Kamaru Hisam mempamerkan aksi terbaik menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand.

Aimy yang baru pulih selepas menjalani pembedahan lutut, mengakui hanya mempunyai tempoh singkat untuk kembali mendapatkan rentak, namun menegaskan semangat juangnya tidak pernah luntur.

Muhammad Sharul Aimy Mohd. Kamaru Hisam

“Persiapan saya agak singkat sebab lepas saya cedera, saya cuma ada tiga bulan saja untuk bersedia.

“Tapi saya akan buat yang terbaik untuk acara saya nanti,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) di Majlis Sukan Negara(MSN) Bukit Jalil.

Mengulas mengenai tahap mentalnya selepas beberapa siri kecederaan serius, termasuk empat pembedahan sebelum ini, Aimy berkata, beliau kini berada pada tahap terbaik dan sudah melupakan trauma lalu.

“Sebelum ni saya dah patah kaki empat kali. Tapi sekarang saya dah buang rasa takut tu. Fokus saya sekarang cuma satu iaitu nak bersedia sepenuhnya untuk pertandingan,” katanya.

Tambahnya, Sukan SEA kali ini merupakan kejohanan kedua buatnya tahun ini selepas penampilan di Kejohanan Dunia di Indonesia baru-baru ini, yang digunakan sebagai medan untuk mengembalikan keyakinan selepas berehat panjang.

“Dekat kejohanan dunia tempoh hari, saya tak letak sasaran tinggi. Saya cuma nak biasakan diri semula dengan suasana pertandingan. Sekarang fokus sepenuhnya untuk SEA Games,” jelasnya.

Atlet berusia 24 tahun itu melihat fokus utamanya kini adalah untuk memperbaiki pencapaian sebelum ini apabila skuad negara hanya membawa pulang pingat gangsa.

“Sasaran kami kali ini sudah tentu pingat emas. Kalau dapat tukar warna pingat dari gangsa kepada perak atau emas, itu sudah cukup bermakna. Tapi saya yakin kami mampu capai lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN