Usia lanjut juga berisiko hidap barah payudara

Usia lanjut juga berisiko hidap barah payudara

Dr.Harjit dan Tun Dr. Siti Hasmah pada sesi perkongsian ‘Perjalanan mereka yang terselamat daripada barah’ di Prince Court Medical Centre, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERINGKALI ramai beranggapan barah payudara hanya menyerang wanita lebih muda iaitu di bawah usia 60-an saja, namun hakikatnya wanita lanjut usia juga berdepan risiko kanser berkenaan.

Jadi, wanita berusia lanjut iaitu 70,80 dan 90-an juga perlu prihatin dengan sebarang perubahan pada payudara dengan menjalankan pemeriksaan sendiri selain menjalani saringan mamogram dan ultrabunyi sekurang-kurangnya setiap tiga tahun.

Pakar Bedah Payudara dan Endokrin, Prince Court Medical Centre, Dr. Harjit Kaur berkata, wanita dalam usia warga emas jangan tersalah anggap yang mereka tidak berisiko mendapat kanser payudara kerana sudah lanjut usia.

“Kita tidak boleh lari daripada kanser payudara. Risiko bergantung kepada setiap individu terutama jika ada sejarah keluarga, risiko akan jadi lebih tinggi. Begitu juga dengan mereka yang mempunyai ramai ahli keluarga yang mengalami kanser, ada kemungkinan masalah genetik.

“Walaupun seseorang itu menjalani gaya hidup sihat termasuk menjaga pemakanan dan bersenam serta tiada sejarah keluarga, tetap berdepan risiko barah payudara. Setiap wanita perlu sentiasa berjaga-jaga dan prihatin dengan keadaan atau perubahan pada payudara masing-masing,” katanya.

Dr. Harjit berkata demikian pada sesi perkongsian ‘Perjalanan mereka yang terselamat daripada barah-bualmesra bersama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di Prince Court Medical Centre, baru-baru ini.

Katanya, Tun sememangnya menjalani saringan setiap tahun sejak tahun 2009 lagi. Hanya pada 2019, beliau mengadu rasa sakit pada bahagian payudara. Selepas diperiksa, disahkan terdapat kanser kecil berukuran 7 mm pada payudara kirinya iaitu kanser dengan hormon positif.

“Tun bernasib baik kerana datang awal ke hospital untuk menjalani pemeriksaan payudara. Bermula dengan rasa sakit pada bahagian payudara, beliau terus datang untuk menjalani pemeriksaan.

Kalau tidak rasa sakit, kanser dikesan ketika menjalani saringan, namun sel kanser mungkin lebih besar.

“Apabila sel dikesan lebih awal, rawatan juga lebih mudah dan cepat. Hasil rawatan juga lebih baik. Risiko kanser berulang memang ada dan bergantung kepada jenis kanser. Kanser jenis kurang ganas, risiko berulang adalah lebih rendah,”katanya.

Katanya, jenis kanser yang ganas pula, risiko berulang adalah lebih tinggi iaitu sehingga 86 peratus. Kanser dengan hormon positif, bermaksud jenis kanser kurang ganas.

Sebaliknya, jika HER2 iaitu sejenis reseptor dalam kanser adalah positif, maknanya kanser adalah jenis ganas. Kanser ini berisiko tinggi berulang dan merebak ke organ lain.

Dr. Harjit berkata, gejala atau petanda barah payudara biasanya adalah benjolan keras pada payudara atau kawasan bawah lengan berhampiran payudara. Selain itu, wanita perlu peka dengan perubahan kulit dan puting payudara dan sebarang cecair yang keluar.

“Semua gejala ini boleh dikesan dengan menjalani pemeriksaan sendiri payudara dengan teknik mudah iaitu menekan kawasan payudara dengan jari di sekeliling payudara. Ini boleh dilakukan sebulan sekali.

“Biasanya barah payudara tidak akan menyebabkan rasa sakit tetapi dalam kes yang menyebabkan rasa sakit seperti dialami Tun, ia mungkin disebabkan sel itu berada berhampiran dengan saraf di kawasan lengan,” katanya.

Rawatan lebih mudah

Dr. Harjit berkata, ramai yang risau dan takut apabila mendengar perlu menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi. Bagaimanapun, rawatan kanser bergantung kepada saiz sel kanser sama ada kecil atau besar.

“Rawatan kanser akan menjadi lebih intensif bagi menyingkirkan sel kanser yang ganas seperti kemoterapi dan radioterapi.

“Bagi kes hormon positif dan HER2 negatif, hanya perlu dirawat dengan ubat makan iaitu ubat hormon untuk lima tahun. Ini kerana ia bukan jenis yang ganas.

“Bagi jenis yang tidak ganas, rawatan juga lebih mudah dan pembedahan juga adalah jenis minor atau kecil dan hasilnya lebih baik. Ini membolehkan pesakit kembali ke kehidupan biasa secepat mungkin,” katanya.

Katanya, dalam kes Tun, rawatan IORT atau IntraOperative RadioTherapy digunakan untuk mematikan sel kanser. IORT adalah terapi radioterapi yang menyasarkan bahagian yang terbabit dengan sel barah yang sudah dibuang atau lumpektomi.

“Secara tradisional, pembedahan payudara adalah membuang benjolan saja. Selepas sebulan, apabila parut sudah elok, perlu buat radioterapi. Radioterapi adalah sinaran dari luar, pesakit perlu dapatkannya 20 hingga 25 kali sinaran setiap hari. Jadi, pesakit perlu datang ke hospital setiap hari.

“Sinaran ini menyebabkan kulit terbakar sedikit, merosakkan tekstur kulit, kelenjar minyak dan peluh. Oleh itu, warna kulit bertukar sedikit. Tekstur payudara juga akan bertukar. Ada juga kesan sinaran yang masuk ke dalam organ lain seperti paru-paru dan jantung,” katanya

Katanya, rawatan IORT adalah lebih cepat dan hanya memakan 16 minit dan keberkesanannya sama dengan kaedah radioterapi tradisional.

Sinar ditujukan terus kepada kawasan kanser dan kurang berkesan ke atas organ lain.

Malangnya, tidak semua pesakit berpeluang menjalani rawatan dengan IORT. Mereka yang duduk jauh dari kemudahan ini, tidak boleh datang setiap hari untuk menjalani radioterapi. Jadi, mereka terpaksa memilih untuk membuang payudara walaupun kanser adalah kecil.

“Penerimaan dan kesan psikologi selepas pembuangan payudara, bergantung kepada diri setiap pesakit. Setengah pesakit fikir, payudara hanya bahagian kosmetik tubuh saja yang menunjukkan sifat kewanitaan. Jadi, mereka tidak kisah jika payudara mereka dibuang.

“Tidak dinafikan juga ada wanita terkesan dengan pembuangan payudara. Mereka rasa malu dan tidak berkeyakinan. Jadi, mereka disyorkan menjalani pembinaan semula (rekonstruktif) payudara secepat mungkin jika terpaksa membuang payudara,”katanya.

Dr. Harjit berkata, wanita berusia perlu makanan tambahan seperti vitamin B dan jika diet seharian tidak mencukupi. Vitamin yang amat disyorkan adalah vitamin D3, kerana walaupun kita menerima sinar matahari yang banyak tetapi tidak semua orang keluar untuk dapatkan sinar matahari iaitu sumber vitamin D yang asli.

Vitamin D penting untuk tulang kita, bertindak sebagai antiradang dan membantu wanita yang sudah menopause untuk tidur selain mengandungi bahan antikanser. Jadi, kalau perlu pilih satu saja makanan tambahan, pilih satu saja iaitu Vitamin D.

Kesimpulannya, sekiranya wanita ada genetik kanser iaitu positif BRCA1 dan BRCA2, risiko mendapat kanser hampir 86 peratus sepanjang kehidupannya. Namun ramai pesakit yang langsung tiada sejarah keluarga turut mengalami kanser walaupun mengamalkan gaya hidup sihat, menyusukan anak dan sebagainya.

Kanser payudara tidak boleh dielakkan dengan cara tertentu sebaliknya kita perlu lebih prihatin dengan menjalankan pemeriksaan secara tetap. Kanser yang dapat dikesan awal, meningkatkan peluang lebih tinggi untuk sembuh sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×