LONDON: Lembaga Kriket England dan Wales (ECB) menguatkuasakan larangan serta-merta terhadap penyertaan trans wanita dalam kriket wanita dan kanak-kanak perempuan.
Langkah itu susulan keputusan Mahkamah Agung United Kingdom (UK) bulan lalu yang menetapkan takrifan undang-undang ‘wanita’ hanya berdasarkan jantina biologikal ketika lahir.
“Mulai sekarang, hanya mereka yang berjantina biologikal wanita dibenarkan bermain dalam perlawanan kriket wanita dan kanak-kanak perempuan.
“Trans wanita dan kanak-kanak perempuan masih boleh bermain dalam kategori terbuka dan bercampur,” kata ECB dalam kenyataan rasmi.
Sebelum ini, trans wanita hanya dilarang di dua peringkat tertinggi kriket elit, namun dibenarkan menyertai peringkat ketiga dan rekreasi.
ECB mengakui keputusan baharu ini akan memberi kesan besar kepada komuniti trans wanita tetapi tetap menegaskan komitmen kepada semangat hormat dan keterangkuman.
Keputusan ini menjadikan kriket mengikuti jejak sukan lain seperti bola sepak, renang dan olahraga yang turut mengetatkan syarat penyertaan atlet transgender. – AGENSI