SEREMBAN: Kehadiran Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk yang bukan beragama Islam pada Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan pada 20 Mei lalu adalah atas titah dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menerusi kenyataan memaklumkan, penglibatan Exco bukan beragama Islam itu bertujuan mendedahkan dan membuka kefahaman mereka mengenai pentadbiran Islam di Negeri Sembilan.
“Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan yang diadakan pada 20 Mei 2025 merupakan pendekatan tadbir urus yang inklusif dan bersepadu apabila kehadiran turut melibatkan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk yang bukan beragama Islam, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Ketua-ketua Agensi Agama dan Pegawai-pegawai Daerah.
“Taklimat itu juga turut membentangkan pencapaian institusi agama negeri termasuk pemerkasaan pendidikan Islam, usaha digitalisasi institusi agama Islam serta pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera iaitu inisiatif pendidikan awal kanak-kanak yang menerapkan nilai-nilai murni dan Adat Perpatih merentas kaum dan agama,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini tular di media sosial beberapa pihak yang mempersoalkan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, Teo Kok Seong ke majlis taklimat berkenan yang diadakan di Port Dickson.
Dalam pada itu, MAINS memaklumkan telah mengadakan Taklimat Hal Ehwal Islam bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan pada 8 Oktober 2024 yang dihadiri oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri merentasi parti kerajaan dan pembangkang termasuk yang bukan Islam.
“Pendekatan ini membuktikan komitmen MAINS terhadap tadbir urus Islam yang progresif, inklusif dan selari dengan aspirasi perpaduan serta kemajuan bersama seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN