Suami isteri didakwa abai bayi dua bulan

Suami isteri didakwa abai bayi dua bulan

KEDUA-dua tertuduh diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka hari ini atas pertuduhan mengabaikan bayi lelaki mereka berusia dua bulan. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengabaikan bayi lelaki mereka yang berusia dua bulan, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Nor Azim Abdullah dan Nur Khairunnisa Jusni masing-masing berusia 22 tahun membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu ibu bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia dua bulan yang telah mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Jalan Seri Pelangi 4, Taman Seri Pelangi dalam daerah Alor Gajah antara 2 dan 5 Mei 2025.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan dilakukan adalah serius tetapi menyerahkan kepada mahkamah sekiranya mahu menggunakan budi bicara.

Peguam Mohammed Hissham Ramdzan yang mewakili kedua tertuduh merayu pasangan itu diberikan jaminan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Katanya, Muhamad Nor Azim bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan RM1,800 sebulan sementara Nur Khairunnisa adalah suri rumah dan bersedia dikenakan syarat tambahan oleh mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 seorang dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri sekali sebulan di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tarikh 12 Jun 2025 ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan seorang bayi lelaki parah selepas disyaki menjadi mangsa dera ibu dan bapanya.

Pemeriksaan dilakukan oleh pegawai perubatan menemukan kesan lebam dan luka di beberapa bahagian badan serta leher mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN