PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mempamer ketenangan dan keserasian untuk mara ke suku akhir Terbuka Singapura 2025 di Stadium Tertutup Singapura, hari ini.
Pasangan suami isteri itu menundukkan beregu ‘scratch’ China, Feng Yan Zhe-Wei Ya Xin 21-11, 21-19 dalam tempoh 34 minit bagi meneruskan kemaraan dalam kejohanan bertaraf Super 750 itu.
Kemenangan itu dilihat signifikan memandangkan Yan Zhe adalah gandingan No.1 dunia bersama Huang Dong Ping manakala Ya Xin merupakan rakan sepasukan kepada Jiang Zhen Bang, beregu No.2 dunia sekali gus menjadikan pasangan itu antara yang paling berprofil tinggi dalam kejohanan ini walaupun baharu digandingkan.
Shevon-Soon Huat akan berdepan cabaran getir menentang juara Terbuka Malaysia 2025 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam aksi suku akhir esok.
Sementara itu, beregu lelaki No. 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menepati status pilihan apabila mudah menewaskan rakan senegara Arif Junaidi-Yap Roy King 21-13, 21-11.
Persembahan kemas sepanjang 33 minit itu menyaksikan mereka meraih kemenangan ketiga berturut-turut ke atas gandingan muda berkenaan,
Mereka bakal berdepan sama ada pilihan utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty atau pilihan ketujuh Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dalam perlawanan suku akhir esok. – UTUSAN