Pengeluar perlu mulakan inisiatif lupus motosikal lama - Utusan Malaysia

Pengeluar perlu mulakan inisiatif lupus motosikal lama

ANTHONY Loke Siew Fook menyampaikan topi keledar kepada pengguna pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha Peringkat Kebangsaan Kali ke-28 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan cadangan pelaksanaan program pelupusan motosikal lama namun inisiatif tersebut perlu dimulakan terlebih dahulu oleh syarikat pengeluar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendekatan sama sebelum ini dilaksanakan menerusi program pelupusan kereta lama yang bermula daripada inisiatif syarikat pengeluar kereta.

Menurutnya, program tersebut kemudiannya mendapat sokongan daripada kerajaan bagi memastikan pelaksanaannya memberi manfaat kepada industri automotif serta pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini belum ada cadangan khusus mengenai pelupusan motosikal lama. Perkara ini memerlukan inisiatif daripada pihak pengeluar terlebih dahulu.

“Seperti program kereta lama sebelum ini, ia bermula daripada inisiatif syarikat pengeluar sendiri dan kerajaan kemudian menambah sokongan,” katanya ketika ditemui pada program Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha Kali Ke-28 di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan tidak boleh melaksanakan program berkenaan tanpa cadangan awal daripada pihak industri.

“Tidak boleh kalau semua hendak berharap kepada kerajaan semata-mata. Pengeluar perlu membawa dahulu inisiatif tersebut sebelum kita membincangkannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan kerajaan setakat ini hanya diberikan kepada pengeluar kereta tempatan iaitu Proton Holdings Berhad dan Perodua bagi menyokong pembangunan industri automotif negara.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 5,000 pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun bakal menerima Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama untuk membeli kereta baharu yang lebih moden, selamat, cekap tenaga serta mesra alam.

Anthony Loke berkata, penerima yang layak akan menikmati geran padanan sehingga RM2,000 yang turut dipadankan oleh syarikat pengeluar kereta tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini