PETALING JAYA: Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China 2025 memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemudah cara utama dalam menghubungkan ekonomi ASEAN, GCC dan China secara lebih holistik dan bersasar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keseluruhan sesi hari ini membuktikan keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap ASEAN yang mempunyai lebih 680 juta penduduk dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) gabungan melebihi RM16.85 trilion.
Jelasnya, ia menjadikan rantau ini sebagai salah satu pasaran yang paling pesat berkembang dan paling strategik di dunia.
“Hari ini sekali lagi, Malaysia tampil bukan sahaja sebagai tuan rumah tetapi juga sebagai pemimpin serantau yang bersedia menjadi pintu masuk utama bagi syarikat-syarikat China dan GCC untuk menembusi pasaran ASEAN.
“Kita menawarkan persekitaran pelaburan yang stabil, dasar kerajaan yang mesra pelabur, serta visi ekonomi yang jelas, progresif dan mampan.
“InsyaAllah, hubungan erat yang terus dibina melalui sidang ini akan menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi bernilai tinggi, serta peluasan rangkaian perdagangan serantau dan global.
“Saya yakin, hasil kerjasama dan kesepakatan yang terjalin ini akan menyumbang secara langsung kepada masa depan ekonomi Malaysia yang lebih dinamik dan mampan, serta memperkukuh kedudukan negara sebagai hab strategik utama ASEAN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengetuai beberapa pertemuan strategik penting sempena Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China 2025.
Antara sorotan utama adalah pertemuan dua hala bersama delegasi China melalui Guangzhou Industrial Holdings Group (GIIHG) dan China Council for the Promotion of International Trade (CCPIT).
Ahmad Zahid turut menyambut delegasi pelaburan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan delegasi dari Dewan Perniagaan dan Industri Qatar.
Menurut Zahid, fokus utama perbincangan adalah kepada sektor strategik seperti logistik, pembangunan halal, teknologi kecerdasan buatan (AI), automotif, dan tenaga hijau.
“Di penghujung sesi, saya turut mempengerusikan sesi libat urus antara delegasi kerajaan dan komuniti perniagaan dari Arab Saudi dan China yang membincangkan potensi peluasan pelaburan dua hala, dengan Malaysia berperanan sebagai hab strategik pelaburan bagi rantau ASEAN,” katanya. – UTUSAN