PETALING JAYA: Dakwaan kes rasuah membabitkan pemimpin Sabah perlu disiasat dengan menyeluruh dan mengikut undang-undang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu timbul akibat percubaan untuk memanaskan suasana menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah dengan tujuan untuk menjejaskan keyakinan rakyat terhadap negara.
Katanya, isu itu juga menjadi sasaran kritikan kerana wujud tuduhan bahawa kerajaan cuba menutup perkara tersebut.
“Saya bertanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengenai video ini sehingga menimbulkan kekecohan. Saya sendiri melihatnya secara zahir, nampak seperti betul. Jadi saya tanya, apa sebenarnya masalahnya?
“SPRM menjawab kita perlu mengikut undang-undang, video yang dipotong atau disunting sebegini belum tentu boleh dijadikan bukti sah di mahkamah. Lebih-lebih lagi dalam era teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) sekarang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Kata Anwar, siasatan telah dijalankan SPRM, namun belum mempunyai keterangan yang mencukupi.
“Individu yang mengeluarkan kenyataan tersebut hanya memberikan maklumat sedikit dan ada pula perbincangan dengan pihak pembangkang yang kemudian membangkitkan isu ini sehingga menghangatkan suasana,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan bertanggungjawab mempertahankan pihak orang yang memberi maklumat atau disebut whistleblowing.
Bagaimanapun, beliau berkata, mereka juga terlibat dengan rasuah tidak layak untuk orang memberi pendedahan.
“Cuba kita fikir secara logik, katakan ada seseorang yang menyamun atau mencuri berbilion ringgit, kemudian dia datang kepada polis atau SPRM dan berkata, ‘Saya akan beri kerjasama untuk mendakwa orang lain yang mencuri RM100.’
“Selepas itu, dia pula meminta perlindungan daripada kerajaan. Adakah wajar kita beri perlindungan begitu? Tidak, hal ini adalah undang-undang.
“Berkenaan isu video itu pula, menurut SPRM, hanya sebulan yang lalu barulah mereka menerima rakaman video penuh. Maka, SPRM telah merujuk video tersebut kepada pihak forensik untuk mengesahkan kesahihannya.
“Proses ini menyebabkan sedikit kelewatan dalam siasatan. Ini menunjukkan bahawa siasatan yang teliti dan menyeluruh sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN