SERI KEMBANGAN: Seluruh pelajar diminta untuk menguasai pelbagai bahasa selain Bahasa Melayu bagi memberi kelebihan pada diri mereka sendiri dan negara pada masa akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di samping pengukuhan Bahasa Melayu yang diberi keutamaan, penguasaan bahasa lain seperti bahasa Cina juga perlu diberi perhatian ekoran kedudukan bahasa tersebut dalam ekonomi dan pelaburan.
Beliau berkata, semua pihak perlu memberi ruang terutama kepada pelajar untuk menguasai bahasa-bahasan lain yang pasti tidak akan merugikan mereka.
“Sebab itu, dalam isu bahasa, kita ambil keputusan untuk anak-anak kita. Asalkan mereka semua terima kedudukan Bahasa (Melayu). Oleh kerana dia di Malaysia, mesti tahu sejarah negaranya, maka belajarlah.
“Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina penting. Bahasa Cina ini sudah menjadi bahasa ekonomi yang penting di rantau Asia dan di dunia. Di banyak universiti di barat sekarang, elektifnya dan bahasa pilihannya juga Bahasa Cina,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Huazong 2026, di sini hari ini.
Dalam pada itu Anwar berkata, Malaysia tidak boleh terlalu diheret dengan isu kecil termasuk yang menyentuh hal sensitif dan soal perkauman.
“Kita lupa, kalau ekonomi kita tidak kukuh, kalau pelaburan tidak meningkat, tidak ada harapan bagi anak-anak muda kita. Pekerjaan mereka, keperluan pendidikan mereka.
“Kembalikan fokus kita. Mahu berjaya, bukan kerana nak puaskan hati satu, dua pihak. Mahu berjaya, fokus pada isu ekonomi. Fokus kepada kepentingan rakyat.
“Saya yakin, kalau kita mula dengan pandangan dan sikap sedemikian, Malaysia punya potensi sangat baik. Kita dalam keadaan ‘future’ yang sangat baik sekarang. Apa yang perlu, bersatu, bekerja, angkat martabat negara ini menjadi negara hebat di rakyat kita,” katanya.
Tambahnya, rakyat Malaysia perlu bersatu menolak anasir sekumpulan individu dan pihak-pihak tertentu yang suka membangkit dan memprovokasi isu-isu perkauman.
“Yang nak kacau, timbul masalah, hari-hari marah-marah, ini kumpulan kecil. Rakyat terbanyak ini mahu negara ini aman, ekonominya maju dan hormat semua budaya dan agama dalam negara ini.
“Kita kadang-kadang terkesan dengan pandangan sekelompok kecil. Ya..boleh, tetapi kadang-kadang sangat berlebihan. Sebahagian besar mahukan keamanan, perpaduan, kemakmuran. Jangan dibiarkan kelompok yang hanya timbulkan masalah ini,” katanya. – UTUSAN










