Semua mata tertumpu pada Sinner

Semua mata tertumpu pada Sinner

PEMAIN tenis Itali, Jannik Sinner ketika melayan peminatnya selepas selesai latihan rasmi bagi menghadapi Terbuka Rom. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN: Jannik Sinner menjadi tumpuan utama di Terbuka Rom, sebagai pemain No. 1 dunia dan wira tenis Itali yang bersedia untuk kembali ke gelanggang selepas menjalani penggantungan doping.

Sinner tidak menyertai sebarang pertandingan selepas menjalani hukuman penggantungan daripada Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada Februari lalu dan dia disambut semula oleh ribuan peminat yang menyaksikan sesi latihan pertamanya di Gelanggang Utama Foro Italico, kelmarin.

Sinner yang telah menjadi ikon kebangsaan di Itali selepas naik ke puncak permainan lelaki, begitu tinggi sehingga sesi latihannya dengan pemain nombor 38 dunia, Jiri Lehecka turut disiarkan secara langsung.

Semua mata tertumpu kepada pemain berusia 23 tahun itu, yang belum memegang raket sejak mempertahankan gelaran Terbuka Australia pada Januari lalu, kemenangan yang menjadikannya juara Grand Slam sebanyak tiga kali.

“Saya sangat gembira, gembira untuk kembali ke sini. Tiga bulan ini terasa sangat panjang,” kata Sinner.

Gelanggang tanah liat bukanlah permukaan kegemaran Sinner, dan kekurangan rentaknya jelas kelihatan semasa sesi latihan pada Isnin lalu. Hanya satu daripada 19 gelarannya datang daripada gelanggang tanah liat, di Umag pada tahun 2022.

Namun begitu, Sinner mempunyai beberapa hari untuk mendapatkan semula rentaknya, kerana status sebagai pilihan utama memberikannya bye ke pusingan kedua yang bermula pada hari ini.

Pemain Itali itu bernasib baik kerana tiada pesaing utamanya mengambil kesempatan semasa dia digantung. Alexander Zverev, yang kini di tangga kedua, masih ketinggalan hampir 2,000 mata di belakang Sinner yang menewaskannya dalam final Terbuka Australia.

Sementara itu, Carlos Alcaraz masih belum tiba di Rom selepas menarik diri daripada Terbuka Madrid, dan Novak Djokovic yang masih memburu gelaran ATP ke-100 memilih untuk tidak menyertai kejohanan ini, yang telah dimenanginya sebanyak enam kali.

Sinner meletakkan sasarannya untuk mara jauh di Terbuka Perancis iaitu Grand Slam kedua musim ini yang akan berlangsung selepas kejohanan di Rom.

“Sasaran saya ialah Roland Garros. Saya di sini untuk melihat tahap permainan saya. Saya bukan datang untuk menewaskan sesiapa secara khusus, tetapi untuk melepasi pusingan kedua dan lihat apa yang akan berlaku selepas itu,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN