KUALA LUMPUR: Kira-kira 41,842 remaja usia 19 tahun ke bawah direkodkan hamil bawah umur dalam tempoh 2020 hingga 2024 dengan 50 peratus daripadanya berbangsa Melayu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata, jumlah itu melibatkan remaja yang telah berkahwin dan hamil luar nikah, dengan 11 peratus daripadanya berbangsa Iban, Orang Asli Semenanjung (9 peratus), Cina (5 peratus), India (3 peratus) dan baki etnik lain.
Katanya, dalam tempoh sama, data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan 16,951 remaja berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin hamil direkodkan di fasiliti kerajaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya bersama pelbagai kementerian sedang melaksanakan intervensi menyeluruh meliputi pendidikan kesihatan reproduktif, kaunseling, advokasi serta sokongan komuniti bagi menangani isu remaja hamil luar nikah.
“Antara inisiatif itu termasuk membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak berkaitan kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif dan melahirkan masyarakat bertanggungjawab serta berdaya tahan.
“Di bawah pelan tindakan ini, pembangunan kemahiran berkaitan kesihatan reproduktif yang positif dan selamat ditekankan sama ada melalui pendidikan formal di sekolah dan tidak formal di luar sekolah,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Mohd. Misbahul Munir Masuki (PN-Parit Buntar) berhubung jumlah remaja hamil tanpa nikah mengikut kaum dari 2020 hingga terkini serta langkah-langkah yang diambil bagi mencegah dan mengatasi isu tersebut.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, khidmat sokongan untuk golongan remaja turut disediakan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melalui Pusat Remaja KafeTEEN dan Program Sahabat KafeTEEN di sekolah.
Katanya, akses perkhidmatan itu diperluaskan melalui 18 Pusat Remaja KafeTEEN, sebuah trak KafeTEEN serta program komuniti yang menyediakan klinik kesihatan reproduktif dan kaunseling psikososial.
“Perluasan program dan perkhidmatan Pusat Remaja KafeTEEN turut dilaksanakan melalui latihan peers educators yang berkemahiran dalam pendidikan kesihatan reproduktif di bawah Kelab KafeTEEN di 143 buah sekolah menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.
Menurut Nancy, pihak kementerian bakal melancarkan Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baharu bagi memperkasakan keluarga sebagai asas kestabilan sosial.
Katanya, fokus utama dasar itu adalah untuk meningkatkan keupayaan perancangan keluarga melalui pengukuhan peranan ibu bapa dan remaja.
“Usaha membendung isu kehamilan remaja luar nikah ini wajar digembleng bersama oleh semua pihak demi masa depan generasi muda kita yang lebih sejahtera,” katanya. – UTUSAN










