KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan sokongan penuh terhadap hasrat Papua New Guinea untuk menyertai ASEAN.
Beliau menegaskan keanggotaan negara jiran Indonesia itu akan memperkukuh pengaruh dan ketahanan blok serantau tersebut dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
Prabowo berkata, Papua New Guinea secara rasmi telah menyatakan minat untuk menjadi anggota ASEAN dan menyifatkan negara itu sebagai ‘jiran terdekat’ Indonesia.
“Dalam keadaan dunia penuh ketidaktentuan geopolitik ketika ini, semakin kuat ASEAN, semakin lantang suara kita didengari dalam wacana kuasa-kuasa besar.
“Kita tahu bahawa hanya mereka yang kuat akan dihormati,” katanya dalam sesi tertutup pleno sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, semalam.
Indonesia dan Papua New Guinea berkongsi sempadan darat sepanjang lebih 800 kilometer di wilayah timur kepulauan New Guinea.
Walaupun isu sempadan masih dibincangkan dari semasa ke semasa, Jakarta dan Port Moresby mempunyai hubungan diplomatik yang positif terutama dalam mengurus rentas sempadan melibatkan komuniti asal Papua.
Jakarta juga terus memperkukuh hubungan dengan Papua New Guinea atas dasar budaya dan hubungan etnik yang rapat antara penduduk kedua-dua negara, di mana masyarakat pribumi Papua diberi kelonggaran khas untuk merentas sempadan.
Dalam sesi perbincangan mengenai halatuju ASEAN pada masa depan itu, Prabowo turut menekankan kepentingan memperkasakan perpaduan dan kestabilan dalaman ASEAN bagi meningkatkan kedudukan rantau ini di peringkat global.
“Dengan penambahan ahli baharu seperti Timor Leste dan Papua New Guinea, saya percaya ia akan mengukuhkan lagi peranan ASEAN di pentas dunia,” katanya.
Setakat ini, ASEAN mempunyai 10 anggota tetap iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, dengan jumlah penduduk melebihi 680 juta orang.
Timor Leste, yang kini memegang status pemerhati dijangka diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak akan datang pada Oktober ini.
Prabowo dalam ucapannya turut mengalu-alukan penyertaan Timor Leste dan menyatakan sokongan padu Indonesia terhadap keanggotaan negara itu. – UTUSAN