PETALING JAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) komited memperkukuh kerjasama serantau melalui pemuktamadan pelan tindakan dan kerangka strategik yang merupakan ‘Priority Economic Deliverables’ (PED) bagi menyokong peralihan tenaga yang adil dan berstruktur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Petra sebagai agensi peneraju bagi pembangunan tenaga di rantau Asia Tenggara, menyokong penuh Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045: Masa Depan Bersama untuk merealisasikan ASEAN ‘Economic Community Strategic Plan’, dengan memperluas skop kerangka kerjasama serantau dalam bidang tenaga.
“PED akan merangkumi ASEAN Plan of Action for Energy Cooperation (APAEC) 2026-2030 yang bertindak sebagai kerangka utama yang menggariskan hala tuju jangka panjang dan inisiatif strategik ke arah sistem bekalan tenaga serantau yang berdaya harap, inklusif dan mapan menjelang 2045
“Selain itu, Memorandum Kerjasama ASEAN Power Grid (APG) yang akan meletakkan asas kepada pelaksanaan integrasi grid dan sambung tara di antara negara anggota ASEAN yang bakal mempercepatkan integrasi sistem grid serantau bagi memudahkan perdagangan elektrik rentas sempadan, dan menyokong penjanaan dan penggunaan tenaga boleh baharu secara lebih meluas.
“Trans ASEAN Gas Pipeline Agreement (TAGP) dan ASEAN Petroleum Security Agreement (APSA) pula akan menyediakan kerangka pembekalan bahan api (gas asli dan petroleum) untuk menyokong peralihan progresif kepada sistem tenaga rendah karbon termasuk penjanaan elektrik bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fadillah berkata, melalui inisiatif dan program itu, kementerian itu akan menyokong ketetapan di bawah Deklarasi ASEAN 2045 termasuk usaha peralihan tenaga sebagai landasan strategik ke arah pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.
“Komitmen ini selari dengan kerangka Malaysia Madani yang menekankan kemampanan, kesejahteraan dan inovasi dalam pembangunan negara, serta memperkukuh kerjasama serantau demi manfaat bersama seluruh komuniti ASEAN,” katanya. – UTUSAN