SEPANG: Penerbangan terakhir jemaah haji ke Tanah Suci adalah pada 1 Jun ini membabitkan seramai 350 jemaah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, jemaah terakhir itu akan berlepas menerusi penerbangan KT101.
Beliau berkata, setakat hari ini, seramai 29,000 jemaah Malaysia sudah berada di Tanah Suci dan masih ada 2,000 lagi jemaah belum berlepas.
“Jadi maknanya, daripada 31,600 jemaah yang terpilih, hampir 29,000 jemaah telah berada di di Tanah Suci,” katanya.
Mohd Na’im berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.
Turut mengiringi Mohd Na’im ke Tanah Suci adalah isterinya, Datin Nik Roslini Raja Ismail serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan isteri, Puan Sri Maheran Jamil.
Katanya, beliau dan Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain juga akan menyertai Simposium Haji Perdana ke-49 yang dianjurkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan jemaah-jemaah haji Malaysia supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan Tabung Haji dan juga Kerajaan Arab Saudi.
“Cuaca dan suhu di Tanah Suci terutama di Mekah dan juga di Arafah ketika ini agak panas dan terik. Jadi, saya nasihatkan kepada jemaah supaya kerap minum air.
“Jaga diri baik-baik dan kalau tak ada urusan yang mendesak duduklah di tempat penginapan masing-masing, jangan keluar dan mendedahkan diri kepada cuaca panas,” katanya.
“Ambil peluang untuk jaga diri baik-baik sementara menunggu wukuf di Arafah dan rukun haji seterusnya,” katanya.
Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi meramalkan keadaan cuaca panas hingga sangat panas di kawasan Tanah Suci sepanjang musim haji tahun ini, 1446 Hijrah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Suhu maksimum dijangka antara 40 hingga 47 darjah Celsius, manakala suhu minimum dijangka sekitar 27 hingga 32 darjah Celsius dan kelembapan pula dijangka antara 15 hingga 60 peratus.-UTUSAN