Rancang kewangan menunaikan haji semakin mencabar

Rancang kewangan menunaikan haji semakin mencabar

PERANCANGAN kewangan haji bukan sekadar menyimpan wang, tetapi membina disiplin, menyusun keutamaan dan amanah rezeki daripada Allah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENUNAIKAN haji ialah impian yang tersemat dalam jiwa setiap Muslim kerana ia merupakan kemuncak kepada penyempurnaan Rukun Islam. Ibadah ini bukan sekadar perjalanan fizikal menuju Tanah Suci, tetapi juga tuntutan yang memerlukan persediaan menyeluruh daripada aspek spiritual, mental dan kewangan.

Setiap Muslim memikul tanggungjawab untuk merancang perjalanan ibadah ini dengan sebaik-baiknya agar dapat melaksanakannya dalam keadaan teratur dan berkemampuan.

Mutakhir ini, isu kemampuan kewangan jemaah kembali menjadi perhatian apabila sebahagian individu yang terpilih terpaksa menangguhkan tawaran haji disebabkan kekangan dana.

Keadaan ini memberi isyarat jelas bahawa masyarakat perlu lebih teliti dalam merancang kewangan untuk ibadah yang besar ini.

Haji bukan sahaja memerlukan kesediaan hati, tetapi juga kesediaan untuk mengurus rezeki dengan tersusun agar dapat ditunaikan tanpa beban dan tidak menjejaskan keperluan keluarga, khususnya mereka yang berada dalam kelompok berpendapatan rendah.

Data semasa menunjukkan masih ramai pendeposit berada pada tahap awal tabungan. Ini membuka ruang untuk masyarakat memperkukuh amalan menabung bagi persediaan haji pada masa hadapan.

Sorotan fakta menunjukkan lebih 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit Tabung Haji (TH) memiliki simpanan kurang RM1,300. Angka ini secara tidak langsung mencerminkan realiti ekonomi majoriti rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.

Simpanan kecil bukan bermakna seseorang tidak ingin menabung. Sering kali ia berpunca daripada komitmen keluarga, kos makanan yang meningkat, beban hutang dan tanggungjawab harian yang tidak dapat dielakkan.

Dalam keadaan sebegini, perancangan kewangan haji menjadi lebih mencabar dan memerlukan pendekatan baharu yang lebih holistik.

Perancangan kewangan haji sebenarnya satu bentuk pendidikan kewangan. Ia menuntut pemahaman tentang nilai masa, disiplin simpanan, kemampuan diri dan kesedaran terhadap kos sebenar.

Ramai hanya memberi tumpuan kepada bayaran pakej, sedangkan kos haji merangkumi banyak komponen lain seperti kelengkapan ibadah, ubat-ubatan, kos harian di Tanah suci, sedekah, korban dan persiapan keluarga di tanah air.

Semakin jelas seseorang memahami keseluruhan kos haji, maka semakin tepat perancangan kewangan yang dapat dirangka. Perancangan kewangan yang dilaksanakan secara teratur dapat mengelakkan daripada perangkap kemiskinan situasi.

Pendidikan kewangan yang baik turut menekankan tabungan kecil tetapi konsisten.

Ramai tidak menyangka bahawa simpanan sebanyak RM30 atau RM50 sebulan mampu membentuk dana kukuh dalam beberapa tahun. Jumlah kecil inilah akan berkembang melalui agihan keuntungan tahunan TH.

Disiplin menyimpan jauh lebih penting daripada jumlah besar yang disimpan sekali-sekala.

Simpanan juga haruslah selari dengan asas pengurusan kewangan Islam yang patuh syariah. Komitmen simpanan mestilah berterusan, terancang dan tidak membebankan.

Gelagat menyimpan yang konsisten menjadi landasan penting dalam menyediakan diri untuk merealisasi ibadah haji.

Kemudahan digital seperti THiJARI memberi peluang kepada masyarakat untuk menabung secara lebih mudah. Fungsi pemindahan automatik bulanan memudahkan pendeposit mengurus simpanan tanpa perlu hadir ke kaunter.

Pendidikan kewangan hari ini perlu melibatkan penggunaan teknologi, kerana ia membantu membentuk tabiat simpanan yang lebih stabil dan tersusun.

Budaya tabungan keluarga juga wajar diperkasa dengan lebih serius. Akaun TH boleh dibuka untuk anak-anak seawal usia kecil sebagai pendidikan kewangan awal.

Amalan ini bukan sekadar menyediakan dana permulaan untuk menunaikan haji, tetapi mengajar tentang nilai masa, pengorbanan dan keutamaan. Literasi kewangan terbaik adalah literasi yang bermula di rumah.

Dalam menghadapi persaingan produk kewangan moden, usaha meningkatkan imej dan pendekatan TH juga perlu difahami masyarakat sebagai langkah ke hadapan. Pembaharuan imej bukan sekadar kosmetik.

Ia strategi memastikan institusi yang mengurus perjalanan ibadah jutaan umat Islam kekal relevan dan dekat dengan generasi muda.

Dalam ekosistem kewangan yang semakin kompetitif, pembaharuan imej dan komunikasi membantu TH menjelaskan fungsi serta nilai tambah perkhidmatan kepada masyarakat dengan lebih jelas.

Walaupun TH menyediakan platform selamat dan patuh syariah, tanggungjawab menabung tetap berada di bahu pendeposit. Masyarakat perlu memahami kedudukan kewangan mereka sendiri.

Jika seseorang berpendapatan rendah, tabungan kecil tetapi konsisten adalah langkah terbaik. Jika berpendapatan sederhana, sasaran bulanan boleh ditingkatkan sedikit demi sedikit.

Jika berpendapatan tinggi, perancangan haji boleh dimasukkan dalam portfolio kewangan keluarga, seiring pelaburan dan perlindungan takaful.

Pendidikan kewangan mengajar kita untuk melihat situasi kewangan dalam perspektif menyeluruh, bukan melalui anggaran kasar semata-mata.

Pusat komuniti, masjid dan institusi pendidikan boleh memainkan peranan lebih aktif dengan menyediakan program literasi kewangan haji yang praktikal.

Ramai ingin bermula, tetapi tidak tahu bagaimana caranya. Ada yang ingin menabung, tetapi tidak pasti jumlah yang sesuai.

Pendidikan kewangan harus membantu masyarakat menilai komitmen bulanan, mengurus hutang, merancang bajet keluarga dan menyediakan dana kecemasan sebelum memulakan tabungan haji.

Semakin ramai masyarakat dibimbing, semakin kukuh budaya perancangan kewangan haji disuburkan dalam kalangan muslim di negara kita.

Perancangan kewangan haji bukan sekadar menyimpan wang, tetapi latihan membina disiplin, menyusun keutamaan dan memahami amanah rezeki daripada Allah.

Perjalanan menuju Tanah Suci bermula dengan keputusan kecil, menyimpan walaupun sedikit dan mengurus kewangan secara teratur.

Setiap langkah kecil ini membawa kita lebih dekat kepada ketenangan dan persiapan rapi sebagai Duyufurrahman.

Dengan perancangan yang jelas dan jiwa yang sedar, umat Islam dapat melangkah melaksanakan ibadah ini dengan lebih yakin, berkemampuan dan seterusnya menempuh perjalanan yang diharapkan membuahkan haji yang mabrur. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah pensyarah di Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN