MELAKA: Seorang pemandu e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak kedai emas dan mencederakan seorang wanita warga emas, minggu lalu.
Tertuduh, Melvin Yen Wei Shern, 31, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mahkamah menangguhkan kes untuk fakta dan hukuman pada 10 Jun ini selepas dipohon pendakwaan untuk menyediakan fakta kes.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja mencederakan Koh Kim Lye, 70, di Kedai Emas Tai Kwong, No. 22, Jalan Jawa, Kampung Jawa dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Mei 2025, kira-kira pukul 11 pagi.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Kent Tan Chow Teng mewakili tertuduh.
Bagaimanapun, ,ahkamah tidak membenarkan jaminan.-UTUSAN