Pedrosa kenal pasti masalah Bagnaia bersama Ducati

Pedrosa kenal pasti masalah Bagnaia bersama Ducati

FRANCESCO BAGNAIA - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Bekas pelumba MotoGP, Dani Pedrosa mengenal pasti masalah yang dihadapi penunggang Ducati, Francesco Bagnaia sehingga menyebabkan pelumba itu berdepan masalah prestasi tidak menentu pada musim ini.

Walaupun Bagnaia sebenarnya telah mengumpul lebih banyak mata pada musim ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dia masih jauh ketinggalan di belakang rakan sepasukan, Marc Marquez dalam kedudukan kejuaraan.

Marquez kini mendahului kejuaraan, manakala Bagnaia di tempat ketiga, ketinggalan 51 mata dan walaupun dia mempunyai lebih banyak pengalaman bersama Ducati namun pelumba dari Itali itu menghadapi masalah di bahagian depan jenteranya.

Pedrosa, bekas rakan sepasukan dan juga pencabar Marquez, telah mengenal pasti puncanya.

“Terdapat dua aspek, psikologi, iaitu pertama yang dia (Bagnaia) nyatakan, dan juga aspek media, segala-galanya yang berkaitan dengan keputusan Ducati memilih Marc, dan keinginan mereka untuk membawa gaya itu ke dalam garaj.

“Bagnaia berada dalam situasi yang janggal dan berfikir, ‘Kenapa aku perlu berada di sini dengan Marc sekarang?’. Ia bukan mudah untuk diterima, tetapi apabila perkara itu menjadi kenyataan, Marc mula melakukan pusingan pantas, meraih petak utama, kemenangan, dan sebagainya.

“Kamu akan masuk ke fasa seterusnya iaitu ‘bagaimana dia lakukannya’ atau ‘kenapa ia berjaya untuk dia tetapi tidak untuk aku’. Itulah saat di mana tumpuan kamu mula beralih untuk memahami bagaimana Marc mampu lakukan semua itu,” katanya.

Pedrosa turut berkata Marquez mampu menunggang jentera dengan tetapan terbuka berbeza Bagnaia yang memerlukan motosikal itu disesuaikan mengikut citarasanya.

“Tetapi saya rasa apa yang paling menjejaskan Pecco ialah keputusan Ducati untuk meletakkan Marc dalam pasukan utama,” katanya.

Keputusan Ducati untuk menaikkan Marquez dari pasukan Gresini tahun lalu pada asasnya telah menyebabkan mereka kehilangan Jorge Martin, Enea Bastianini dan Marco Bezzecchi. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN