Setalam Nasi Arab Ayam Golek Cef Din tambat selera iftar

Setalam Nasi Arab Ayam Golek Cef Din tambat selera iftar

Menu Setalam Nasi Arab Ayam Golek yang memikat selera
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN masakan kampung dan barat, menu dari Asia Barat seperti nasi Arab juga menjadi pilihan ramai terutama ketika berbuka puasa pada Ramadan ini.

Namun bagaimana dengan menu nasi Arab paduan ayam golek bersama gulai daging batang pisang yang popular di negeri Jelapang Padi negara ini? Itulah sentuhan unik Cef Din atau nama sebenarnya Saifudin Rosli.

GERAI AYAM GOLEK
CEF DIN

Alamat: Jalan Sungai Layar, Kampung Teroi Sungai Petani Kedah
Operasi: 3 petang
hingga 9 malam

Sempena Ramadan ini, Cef Din memperkenalkan menu Setalam Nasi Arab Ayam Golek yang memikat selera untuk berbuka beramai-ramai.

Nasi Arabnya menggunakan beras basmathi yang membangkitkan aroma rempah tanpa menikam hidung bersesuaian dengan cita rasa orang Malaysia. Rasa itu cukup seimbang tanpa menenggelamkan aroma nasi yang sesuai untuk dimakan bersama lauk walaupun tanpa sosnya.

Ayam golek yang menjadi hidangan utama diperap secukupnya sebelum dibakar dalam mesin diubai suai sehingga keperangan sebelum menghasilkan lapisan nipis yang rangup manakala isinya kekal lembut dan berjus.

Setiap potongan ayam golek ini membawa rasa perapan yang meresap hingga ke tulang, menandakan proses penyediaan yang sempurna demi mengejar kuantiti.

Sememangnya Cef Din pakar dalam resipi ayam golek kerana beliau pernah menghasilkan pes ayam perap untuk sebuah syarikat sebelum ini yang meraih sambutan menggalakkan dalam kalangan penggemar. Beliau turut menghasilkan pes tersebut untuk jualan secara dalam talian.

Lebih istimewa, ayam golek tersebut dihidangkan bersama dua sos pilihan iaitu air asam dan sos pudina chutney yang merupakan hasil olahan resipi Cef Din sendiri menggabungkan rasa Asia Barat dan Melayu.

Namun keunikan set talam ini juga terletak pada gulai daging batang pisang. Masakan tradisional ini bukan sekadar pelengkap, tetapi menjadi rasa yang mengikat keseluruhan hidangan.

Kuah gulai daging yang lemak, tidak berminyak dengan aroma santan yang dimasak rapi sehingga pecah minyak. Sementara batang pisangnya lembut tetapi tidak hancur sekali gus mengekalkan tekstur yang sempurna apabila digandingkan dengan nasi Arab buat pertama kalinya.

Gabungan nasi Arab dan gulai daging batang pisang mungkin kelihatan kekok namun di sinilah keunikan menu nasi Arab ayam golek ini apabila rasa lemak tradisional Kedah berpadu dengan rempah Asia Barat secara harmoni.

Setiap hidangan akan disertakan secara percuma satu jug minuman air teh Arab Sya Na Nak yang juga merupakan resepi istimewa Cef Din.

Aduan serbuk teh berkualiti bersama daun pudina, cengkih, buah pelaga dan bunga lawang tidak keterlaluan menghasilkan satu minuman yang berkhasiat serta menyegarkan.

Set nasi tersebut cuma berharga RM69.90 setalam yang boleh dinikmati dari empat hingga lima orang manakala set untuk seorang pula RM20.

Selain itu, seperti tahun sebelum ini Cef Din turut menjual ayam golek di gerainya sebagai hidang berbuka puasa dengan harga RM25 seekor dan RM15 separuh.

Menurut Cef Din, setakat ini set talam tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan penduduk Sungai Petani dan luar daerah ini terutama mereka yang mengenalinya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN