PETALING JAYA: “Tentang perancangan permainan, biarlah rahsia, apa yang lebih penting terus berjuang dan konsisten,” kata beregu badminton wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah selepas mengesahkan slot ke separuh akhir Terbuka Thailand di Bangkok, Thailand, semalam.
Gandingan No. 4 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan beregu China, Chen Qing Chen-Wang Ting Ge menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-11 dalam masa 34 minit di suku akhir.
Menanti Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan pertama di separuh akhir hari ini ialah pasangan pecah ganding Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara yang menyingkirkan beregu Indonesia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose, 21-9, 21-16.
Pearly berkata, amat penting untuk dia dan Thinaah mengekalkan prestasi yang konsisten dan meneruskan strategi penggiliran di dalam gelanggang seperti mana yang dicatur jurulatih, Rosman Razak.
“Saya rasa, hari ini (semalam), kami bermain baik terutama di bahagian penggiliran dan perancangan yang telah kami susun juga berjalan seperti yang kami mahu,” katanya ketika ditemu bual BWF.
Kata anak jati Kedah itu, apa yang penting pada ketika ini ialah jangan terlalu cepat berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan dan sentiasa berusaha meningkatkan permainan dari semasa ke semasa.
Katanya lagi, dia dan Thinaah sering berbincang bagi mencari jalan memastikan mereka berdua terus berada pada prestasi terbaik mengikut perlawanan yang diharungi.
Thinaah pula berpendapat, siapa pun lawan yang ditemui amat penting untuk mereka tidak mengambil mudah kerana ranking tidak menentukan kekuatan sebenar pencabar.
“Contoh beregu China yang kami jumpa hari ini, mereka kejutkan pasangan yang menghuni ranking jauh lebih tinggi, jadi, persediaan rapi amat penting,” kata Thinaah.
Pearly-Thinaah kini berada di landasan terbaik untuk menjulang gelaran sulung mereka tahun ini dan prestasi konsisten yang dipamerkan sekurang-kurangnya memberi petanda positif menjelang Malaysia Masters yang bermula Selasa ini.-UTUSAN