KUALA LUMPUR: Lukisan karikatur yang kemas dan menarik menjadi tarikan utama pengunjung ke reruai Media Mulia sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.
Pengunjung dan peminat kartun, Nurul Aina Talib, 39 berkata, promosi ditawarkan oleh Media Mulia untuk produknya itu memberikan nilai tambah yang menarik.
“Saya memang peminat kartun tempatan, jadi apabila tahu tentang MMtoon, saya terus melanggan. Dapat pula karikatur percuma, memang berbaloi,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung dari Alor Setar, Kedah,45, turut teruja dengan pengalaman berkunjung ke PBAKL.
“Saya datang ke PBAKL untuk mencari buku teknikal, tetapi tertarik dengan reruai Media Mulia. Karikatur yang dilukis sangat unik dan menyeronokkan. Langganan MMtoon juga murah dan berpatutan,” katanya.
Sementara itu, pengunjung, Mohamad Rahim, 56, berkata beliau tertarik dengan arkib digital Media Mulia yang mengingatkannya kepada zaman ketika akhbar dicetak dan disimpan sebagai koleksi peribadi.
“Reruai ini memang istimewa bagi orang lama seperti saya. Orang lama mesti tahu dengan akhbar Utusan Malaysia, jika dahulu pasti kita akan simpan dan kumpul akhbar yang dibeli,” katanya.
Sementara itu, Eksekutif Pusat Maklumat dan Arkib Media Mulia, Mohammad Sharin Sahrom berkata, penyertaan sulung Media Mulia dalam PBAKL menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung sejak dua hari penganjurannya.
“Ramai yang tidak melepaskan peluang mendapatkan tawaran menarik seperti langganan akhbar pada harga lebih rendah serta hadiah eksklusif,” katanya.
Sementara itu, antara tawaran istimewa diberikan kepada pengunjung ialah promosi langganan akhbar selain peluang melanggan platform kandungan kartun digital keluaran Media Mulia, MMtoon; edaran percuma 200 naskhah akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.
Turut ada promosi langganan akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia pada harga RM399 berbanding harga asal RM722 dengan diskaun hampir 45 peratus. Pelanggan yang melanggan, berpeluang menerima potret karikatur percuma yang akan dilukis sendiri oleh pelukis profesional di reruai Media Mulia.
PBAKL Ke-42 bertemakan ‘Buku: Membaca dan Memimpin’ berlangsung sehingga 1 Jun itu menyaksikan penganjuran terbesar dalam sejarah dengan 1,172 reruai dan 258 pempamer mengambil bahagian termasuk 28 pempamer antarabangsa daripada negara ASEAN, Iran, United Kingdom (UK) serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Lebih 1.9 juta pengunjung dijangka menghadiri PBAKL, menjadikan ia antara acara buku paling mendapat sambutan di dunia, malah turut diiktiraf antara 12 festival sastera terbaik dunia oleh portal pelancongan Zicasso berpangkalan di Silicon Valley, Amerika Syarikat (AS). – UTUSAN