Nova puji keserasian Tang Jie-Ee Wei

Nova puji keserasian Tang Jie-Ee Wei

CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei akan Kembali berganding pada Terbuka Singapura yang dijadualkan berlangsung 27 Mei hingga 1 Jun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Walaupun skuad badminton negara tumbang 3-0 kepada China dalam suku akhir Piala Sudirman 2025 pada Jumaat, persembahan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memberi satu sinar baharu yang positif buat mereka.

Pasangan No. 4 dunia itu menunjukkan keserasian luar biasa selepas kembali digandingkan semula bulan lalu, meskipun pernah berpisah tiga minggu berikutan masalah persefahaman yang berlarutan sejak Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto menyifatkan kekalahan 17-21, 17-21 kepada gandingan No. 2 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping sebagai aksi terbaik mereka tahun ini.

“Tang Jie-Ee Wei sudah kembali pada landasan sebenar, dan mereka membuktikan kesungguhan apabila berjaya mengawal emosi sepanjang perlawanan.

“Mereka menerima kekalahan dengan positif dan fokus terhadap komunikasi sesama sendiri. Itu yang kita harapkan selama ini,” kata Nova ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di tanah air pada Isnin.

Namun, gandingan itu tidak akan bersama untuk dua kejohanan terdekat iaitu Terbuka Taiwan pada 6 hingga 11 Mei dan Malaysia Masters (20-25 Mei) sebagai sebahagian daripada pelan latihan taktikal pasukan.

Mereka juga turut dijangka akan melangkau Terbuka Thailand yang akan berlangsung pada 13 hingga 18 Mei ini sejurus tamat Terbuka Taiwan untuk berehat seketika selepas jadual kejohanan yang padat.

“Tang Jie akan bergandingan dengan Chan Wen Tse manakala Ee Wei bersama Loo Bing Kun sebelum mereka disatukan semula di Terbuka Singapura pada 27 Mei hingga 1 Jun ini.

“Kami berkemungkinan menarik balik mereka daripada Terbuka Thailand untuk memberi mereka rehat secukupnya,” katanya.

Terbuka Taiwan akan membuka tirai saingannya hari ini menyaksikan Tang Jie-Wen Tse akan menentang beregu Hong Kong, Lui Chun Wai-Fu Chi Yan, manakala Bing Kun-Ee Wei akan berentap bersama gandingan Indonesia, Adnan Maulan-Indah Cahya Sari pada pusingan pembukaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN