KUALA LUMPUR: Malaysia, Indonesia dan Thailand memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam bidang Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di sini.
Kerangka kerjasama itu di bawah Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMG-GT).
Indonesia diwakili oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto, sementara Malaysia diwakili Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Thailand diwakili Timbalan Menteri Kewangan, Julapan Amornvivat.
Ia merupakan komitmen bersama ketiga-tiga negara untuk memperkukuh kerjasama rentas sempadan.
Kerjasama itu juga bertujuan meningkatkan kelancaran urusan kastam, imigresen dan kuarantin, seterusnya merangsang perdagangan, pelaburan dan pergerakan rakyat yang lebih mudah di seluruh wilayah IMT-GT.
Langkah itu juga dilihat sebagai pemangkin kepada usaha memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan mempercepatkan pembangunan koridor pertumbuhan di kawasan sempadan. – UTUSAN