MELAKA: Melaka bersedia mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape sekiranya menerima arahan khusus daripada kerajaan Persekutuan serta Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksanakan dasar tersebut sekiranya diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Kita memang menunggu satu arahan yang tuntas daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri dan kerajaan negeri sendiri dan jika keputusan telah dibuat untuk mengharamkan, kita di peringkat pelaksana bersedia laksanakannya.
“Cuma kita perlukan penyelarasan daripada kerajaan pusat supaya tindakan ini tidak berbeza antara negeri,” katanya ketika ditemui selepas Program Jelajah Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang sempena Sambutan Hari Tibi Sedunia 2025 di sini, hari ini.
Tambah Rais, kerajaan negeri menyedari ada peniaga yang menjalankan aktiviti penjualan vape secara sah, namun terdapat juga yang berselindung di sebalik lesen alatan elektronik.
“Saya percaya isu ini perlu diselesaikan dengan pendekatan menang-menang kerana ia turut melibatkan punca pendapatan sesetengah pihak, namun aspek kesihatan awam perlu diberi keutamaan terutamanya melibatkan golongan muda,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, satu kertas cadangan berhubung kawal selia dan larangan penjualan vape akan dirangka Jabatan Kesihatan Negeri sebelum dibawa ke MMKN. – UTUSAN