SHAH ALAM: Sindiket stor penyimpanan dan pembungkusan vape bercampur dadah jenis ketamin di Klang tumpas dengan rampasan dadah bernilai RM3.04 juta dalam satu serbuan pada 27 November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata, tiga lelaki tempatan berusia 33 hingga 49 tahun berperanan sebagai penjual, penjaga stor dan pembungkus ditahan dalam operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Klang Selatan.
Katanya, polis merampas 2,068 katrij, 550 pod dan 240 botol cecair vape bercampur dadah jenis ketamin dengan anggaran isipadu 61 liter.
“Selain itu, polis turut menyita tiga buah kenderaan iaitu Honda CRV, Perodua Bezza dan Perodua Kelisa, serta lima item barangan kemas dengan nilai keseluruhan RM134,800,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Shazeli berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan menjual vape bercampur dadah secara terbuka kepada orang awam.
“Mereka dipercayai membeli dadah yang telah siap diproses menerusi dalam talian dan menggunakan perkhidmatan kurier untuk penghantaran kepada pelanggan,” katanya.
“Semakan mendapati ketiga-tiga suspek tiada rekod lampau yang signifikan, dan keputusan saringan awal air kencing negatif untuk kehadiran dadah.
Kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga 4 Disember untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










