PETALING JAYA: Skuad negara terpaksa akur dengan kekalahan 3-2 kepada Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Sudirman 2025 yang berlangsung di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, China, sebentar tadi.
Malaysia bermula cemerlang apabila beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menyumbang mata pertama selepas menewaskan beregu pecah ganding, Hiroki Midorikawa-Arisa Higashino 21-19, 21-18.
Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menggandakan kelebihan apabila mempamer aksi agresif untuk mengejutkan pilihan utama Jepun, Kodai Naraoka 21-8, 13-21, 21-18.
Namun Jepun bangkit mengutip mata pertama menerusi pemain muda, Tomoka Miyazaki yang menewaskan Goh Jin Wei 21-14, 21-17 dalam perseorangan wanita.
Aksi mendebarkan ditampilkan dalam acara beregu lelaki apabila Aaron Chia–Soh Wooi Yik gagal memanfaatkan peluang, sebelum tewas 12-21, 22-20, 23-21 kepada Takuro Hoki–Yugo Kobayashi.
Penentuan terpaksa diserahkan kepada Pearly Tan–M. Thinaah, namun pasangan No. 1 negara itu akur tunduk kepada Nami Matsuyama–Chiharu Shida 21-18, 18-21, 21-18.
Ia merupakan kekalahan ke-13 daripada 14 pertemuan buat Pearly-Thinaah ke atas beregu No. 2 dunia itu, sekali gus mengesahkan kemenangan 3-2 milik Jepun.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan selaku naib juara Kumpulan C dan bakal bertemu sama ada China, Korea atau Indonesia dalam aksi suku akhir, esok.
Berdasarkan format kejohanan, naib juara kumpulan akan diundi menentang juara kumpulan lain, namun tidak boleh bertemu semula dengan pasukan dari kumpulan yang sama, sekali gus membuka peluang buat Malaysia berdepan China, Korea atau Indonesia.
Undian bagi perlawanan suku akhir esok akan dijalankan apabila kesemua perlawanan tamat pada hari ini. – UTUSAN