KUALA LUMPUR: Projek infrastruktur dan kesalinghubungan fizikal antara Malaysia, Indonesia dan Thailand dengan pelaburan bernilai AS$39 bilion (RM165.3 bilion) menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan serantau di bawah Kerangka Kerjasama Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, pelaburan berskala besar ini mencerminkan komitmen tiga negara untuk melaksanakan transformasi ekonomi yang inklusif dan mampan.
Katanya, ia memberi tumpuan kepada pembangunan rentas sempadan, sektor pelancongan, halal, agro-industri serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kami turut memberi tumpuan kepada perubahan iklim, yang telah memberi kesan kepada kehidupan dan mata pencarian masyarakat di seluruh sub-rantau ini.
“Dari segi infrastruktur, terdapat projek bernilai AS$39 bilion (RM165.3 bilion) yang melibatkan pembangunan fizikal dan kesalinghubungan antara ketiga-tiga negara kita,” katanya pada Sidang Kemuncak Pertumbuhan Segitiga IMT-GT ke-16 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan khususnya kepada Thailand kerana Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra bertindak pantas dalam memastikan kelulusan beberapa projek di sempadan, termasuk di Rantau Panjang dan jambatan ke Sungai Golok, yang kini sudah berjalan lancar.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada menteri-menteri yang terlibat atas usaha mereka dalam menyediakan sesi ini.
“Beberapa perincian telah dibincangkan, jadi saya tidak akan mengulanginya di sini, sebaliknya ingin mengucapkan tahniah kepada Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Masato Kanda atas segala sokongan dan komitmen yang telah diberikan,” ujarnya.
Terdahulu, ketiga-tiga negara menandatangani Kerangka Kerjasama IMT-GT dalam Kastam, Imigresen dan Kuarantin (FOC CIQ).
Perjanjian tersebut dimetarai antara Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli; Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto dan Timbalan Menteri Kewangan Thailand, Julapan Amornvivat. – UTUSAN