PETALING JAYA: Saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan bakal hilang seri sekiranya beberapa pasukan ‘nama besar’ membuat keputusan untuk menarik diri atau gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan.
Ketika ini Perak FC telah mengumumkan penarikan diri manakala, nasib Sri Pahang FC, kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC masih ‘50-50’ kerana berdepan masalah kewangan selain tunggakan gaji.
Segala keputusan tentang pasukan mana yang bakal tersenarai dalam saingan Liga M bakal diketahui selepas 10 mei ini iaitu selepas proses permohonan Lesen Kebangsaan yang dikendalikan badan bebas First Instance Body (FIB) berakhir.
Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim berkata, Perak FC, Sri Pahang, KDA FC dan juga KDN FC membawa nilai sentimental serta sejarah panjang dalam kancah bola sepak negara.
Katanya , ketiadaan kelab-kelab ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada pemain, jurulatih dan pegawai kelab, malah turut mengancam keseluruhan ekosistem industri bola sepak, termasuk peniaga kecil yang menjana pendapatan melalui aktiviti perlawanan.
Bekas pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim juga dalam masa sama mengharapkan semua pihak dapat bekerjasama dan berganding bahu untuk berusaha mencari jalan membantu kelab-kelab tersebut bagi memastikan mereka mampu untuk terus berentap di pentas Liga Super.
“Harap semua pihak akan dapat saling membantu sebagai contoh untuk mencari penaja dan sebagainya bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi mereka dan berbelanjalah ikut kemampuan,” katanya.-UTUSAN