Hanya ada pencawang, penduduk Orang Asli kecewa tiada internet

Hanya ada pencawang, penduduk Orang Asli kecewa tiada internet

SEORANG penduduk Orang Asli mencari liputan rangkaian internet dan telefon di luar kawasan rumahnya di Pos Simpor, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hampir 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Simpor, di sini mendakwa menanggung kerugian membeli kad tambah nilai namun capaian internet di kampung mereka tidak berfungsi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor, Jamil Jabon berkata, walaupun terdapat sebuah pencawang di Kampung Jader kira-kira 10 kilometer dari Kampung Simpor, Pos Simpor, ia tidak dapat digunakan oleh penduduk di seluruh kampung.

Katanya, penduduk berharap pihak penyedia telekomunikasi dapat menaik taraf pencawang yang sedia ada di penempatan itu bagi membolehkan mereka menggunakan talian internet dan telefon.

“Hampir setiap hari kami perlu menggunakan talian telefon dan internet untuk berhubung dengan saudara mara atau mengetahui berita semasa. Selain itu, ia sangat penting untuk membuat laporan kepada pihak berwajib sekiranya berlaku kecemasan di kawasan pedalaman termasuk ancaman haiwan liar,” katanya semalam.

Penghulu Kampung Simpor, Pos Simpor, Alang Jambu berkata, penduduk terpaksa ke kawasan padang dan berbukit yang terletak lebih satu kilometer daripada kawasan rumah bagi mendapatkan rangkaian talian telefon dan internet.

Katanya, ketika ini penduduk Orang Asli Pos Simpor susah hendak berhubung dengan dunia luar apabila menghadapi masalah untuk mengakses talian internet dan telefon.

“Kami sangat berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berwajib bagi menaik taraf pencawang talian telefon yang sedia ada di Kampung Jader. Talian internet dan telefon kini sudah menjadi keperluan kepada semua penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN