PETALING JAYA: Gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran sekali lagi menjadi ‘hantu’ buat Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila menyingkirkan beregu campuran negara itu di suku akhir Terbuka Singapura, hari ini.
Beregu ranking kelapan dunia itu menundukkan pasangan Malaysia 21-19, 20-22, 17-21 yang merupakan pilihan utama kejohanan dalam pertarungan sengit di Stadium Tertutup Singapura.
Kekalahan itu menjadikan rekod pertemuan antara kedua-dua pasangan memihak kepada Dechapol-Supissara dengan kelebihan 4-3.
Pasangan Thailand itu turut menjadi penghalang kepada Soon Huat-Shevon dalam kempen Terbuka Malaysia awal tahun ini selepas menyingkirkan mereka di separuh akhir.
Kemenangan di Singapura membolehkan Dechapol-Supissara mara ke separuh akhir untuk menentang pemenang antara pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan atau gandingan Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara.
Soon Huat-Shevon kini akan mengalihkan fokus ke kejohanan lebih berprestij, Terbuka Indonesia yang berstatus Super 1000 minggu depan.
Beregu suami isteri negara itu dijadual berdepan satu lagi cabaran dari Thailand, Phuwanat Hornbanluekit-Sapsiree Taerattanachai di pusingan pertama.
Terbuka Indonesia akan berlangsung di Istora Senayan, Jakarta dari 3 hingga 8 Jun ini. – UTUSAN