KUALA LUMPUR: ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China kini mewakili jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$24 trilion (RM101.7 trilion) iaitu sekitar 23 peratus daripada KDNK global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga rantau berkenaan turut merangkumi lebih sepertiga daripada jumlah penduduk dunia sekali gus memainkan peranan penting dalam perdagangan global.
“Kita juga mewakili lebih sepertiga daripada jumlah penduduk dunia, bahagian yang besar dalam perdagangan global, serta berkongsi kepentingan bersama dalam mempromosikan integrasi ekonomi yang berdaya tahan dan berasaskan peraturan,” katanya ucapan Majlis Makan Malam Rasmi Forum Ekonomi ASEAN-GCC-China (AGCEF) di sini.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia menjadi tuan rumah kepada Forum Ekonomi ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan, bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
“Forum ini dilihat sebagai titik pertemuan bersejarah yang menyatukan tiga kuasa ekonomi serantau ASEAN, GCC dan China yang berkongsi aspirasi ke arah keamanan, kemakmuran dan pertumbuhan mampan,” katanya.
Beliau menyatakan, forum ini mencerminkan pengiktirafan bersama terhadap saling kebergantungan yang semakin meningkat antara ASEAN, GCC dan China.
“Forum ini turut disertai oleh para pembuat dasar, pemimpin perniagaan serta pelabur antarabangsa, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat-syarikat Fortune 500.
“Kehadiran tokoh-tokoh penting ini memperkukuh mesej bahawa kerjasama ekonomi pelbagai hala bukan sahaja relevan tetapi semakin rancak berkembang,” katanya.
Antara topik utama yang dibincangkan dalam forum termasuk peluang perdagangan, pelaburan rentas wilayah, peralihan tenaga, inovasi digital dan pembangunan mampan.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia menekankan keperluan untuk menterjemah kesediaan politik kepada hasil ekonomi nyata yang mampu mengangkat perniagaan, memajukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta melindungi masa depan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN