KUALA LUMPUR: Filipina memberi komitmen untuk meneruskan kejayaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 apabila mengambil teraju kepengerusian rantau ini tahun depan.
Setiausaha Rendah Hal Ehwal Hubungan Dua Hala dan ASEAN, Ma. Theresa P. Lazaro berkata, kepengerusian Malaysia pada tahun ini dilihat sebagai satu pencapaian penting dan akan meneruskan agenda dibawa negara ini.
Katanya, pencapaian Malaysia juga selari dengan agenda diplomatik Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.
“Kepengerusian ASEAN pada tahun depan merupakan satu agenda penting Presiden Marcos dan ia akan dibina berdasarkan asas yang ditetapkan Malaysia.
“Kami juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas segala usaha yang telah dilaksanakan setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN (SOM), hari ini.
Theresa dinamakan sebagai Setiausaha Luar Filipina yang baharu berkuat kuasa 31 Julai, namun pelantikan itu masih belum melalui proses pengesahan oleh Kongres.
Mesyuarat SOM yang bermula hari ini membabitkan semua wakil pegawai tertinggi negara ASEAN memulakan perbincangan sejak pagi bekaitan isu-isu serantau.
Isu dibincangkan termasuk Zon Aman Tanpa Senjata Nuklear ASEAN dan langkah di bawah Forum Serantau ASEAN (ARF) bagi memperkukuh kerjasama antara negara serantau dan bukan ASEAN.
Mesyuarat turut menumpukan kepada pelarasan isu yang akan dipertimbang untuk mesyuarat peringkat Menteri ASEAN esok dan Ketua-Ketua Negara serta kerajaan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 pada Isnin.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 kali ini turut diadakan bersama Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama.
Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dengan membawa tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ iaitu dua nilai utama berteraskan nilai Malaysia Madani, merangkumi nilai Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan serta Ihsan.
Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – UTUSAN