TANJUNG MALIM: Dua lelaki warga emas yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kuala Slim, Slim River di sini malam semalam, merupakan sahabat baik sejak mereka muda.
Dalam kemalangan semalam, Muhammed Sharif Hashim dan Sha’aarudin Aman, kedua-duanya berumur 73 tahun, maut apabila Proton Saga mereka hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Anak Sha’aarudin, Kamarun Zaman Sha’aarudin, 50, berkata, bapanya berkawan baik dengan Muhammed Sharif sejak muda lagi iaitu semasa mereka mula menjadi peneroka terawal di Felda Gunung Besout 5, Sungkai di sini.
Katanya, kemalangan berlaku ketika bapa dan rakannya itu dalam perjalanan balik memancing kolam dari Kuala Kubu Bharu, Selangor.
“Pagi semalam bapa dan kawannya memancing di sebuah kolam di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
“Kebiasaannya, mereka pergi memancing di sekitar Kuala Kubu Bharu atau di Bagan Datuk untuk memancing ikan jenis kolam air masin.
“Biasanya mereka pergi memancing bertiga tapi semalam seorang lagi rakan mereka tidak dapat pergi kerana mempunyai urusan lain,” katanya ditemui di Felda Gunung Besout 5, Sungkai di sini, hari ini.
Sementara itu, anak Muhammed Sharif, Muhammad Zulasyraf, 23 berkata, walaupun sudah berumur, bapanya seorang pendiam, masih cergas, tiada penyakit kronik dan gemar memancing.
“Bapa tidak sempat untuk melihat rumah baharu kakak di Teluk Intan. Bapa teruja untuk melihat rumah kakak yang dirancang minggu depan.
“Kakak juga bercadang buat majlis ringkas masuk rumah baharu di Teluk Intan. Bapa sangat teruja dan tidak sabar untuk bersama kesemua sembilan anaknya, menantu serta cucu.
“Namun bapa pergi tanpa sempat melihat rumah kakak,” katanya.
Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Besout 5 di sini kira-kira pukul 11 pagi. – UTUSAN