PETALING JAYA: Atlet muda Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee meneruskan rentak kecemerlangannya apabila muncul juara 200 meter (m) dalam Cahya Mata Super Series MA International Meet 2025 di Stadium Merdeka, hari ini.
Pelari berusia 18 tahun itu melakukan catatan masa 21.81 saat (s) menewaskan Muhammad Rizal Mikhail Mohd Romzi dari Pahang yang menamatkan larian 22.23s manakala gangsa milik Muhammad Airiel Iskandar Rusli (22.40s) dari Johor.
“Alhamdulillah, untuk permulaan musim ini. Saya rasa berpuas hati sebab dapat melakukan catatan terbaik pada musim ini namun ini masih belum cukup untuk saya.
“Ini kerana sasaran saya masih ada banyak lagi. Ada banyak kejohanan yang lebih besar yang akan disertai,” katanya kepada pemberita selepas melepasi garisan penamat di sini hari ini.
Terdahulu, Danish yang dibimbing oleh bapanya melakukan kejutan apabila menewaskan juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz Jantan dan pelari kebangsaan, Jonathan Nyepa selepas menamatkan larian 100m dengan catatan 10.57s sekali gus menyambar pingat emas, semalam.
Dalam saingan 200m wanita pula menyaksikan pingat emas menjadi milik Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah dengan catatan masa 24.69s manakala perak milik Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (25.50s) dan gangsa dimenangi Zaimah Atifah Zainuddin (26.01s).

Bagi acara 4x400m lelaki pula menyaksikan emas dimenangi kuartet Malaysia A selepas menamatkan larian 3 minit 16.02s, perak dimenangi Malaysia B (3:19.94s) dan gangsa milik Olahraga Kawan (3:26.82s).
Saingan 4x400m wanita pingat emas menjadi milik kuartet negara yang melakukan catatan masa 3:56.91s, tempat kedua dimenangi Johor A (4:10.81s) dan gangsa milik Johor B (4:33.75s). – UTUSAN