Siasatan kemalangan maut anak editor kanan Astro Awani masih berjalan

Siasatan kemalangan maut anak editor kanan Astro Awani masih berjalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Polis masih menjalankan siasatan lanjut kes kemalangan maut yang meragut nyawa anak kepada editor kanan Astro Awani di Kilometer  85.5, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, kenyataan berhubung kemalangan yang dikeluarkan pihaknya sebelum ini adalah berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, termasuk keterangan saksi serta penemuan fizikal.

Katanya, kenyataan tersebut bukan muktamad dan masih tertakluk kepada siasatan lanjut.

“Dakwaan bahawa polis membuat kesimpulan tanpa asas adalah tidak benar. Polis juga memandang serius penularan tangkap layar yang dikaitkan dengan kejadian ini.

“Hasil semakan mendapati tangkap layar tersebut tidak berlaku di Tanah Merah dan tidak berkaitan dengan tarikh kejadian sebenar. Ia tidak relevan serta mengelirukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Haki berkata, siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional melibatkan pelbagai aspek termasuk keterangan saksi, analisis forensik serta penelitian teknikal di lokasi kejadian.

Katanya, orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan dengan adil.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah atau menghubungi balai polis berhampiran.

“Jadi, orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta mengelirukan masyarakat,” ujarnya.

Mohd. Haki berkata, tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu.

Katanya, penyebaran maklumat palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah peruntukan seperti Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 499, 500 dan 505 Kanun Keseksaan.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menafikan dakwaan tular yang mengaitkan kemalangan maut di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli dekat Kampung Rahmat, Bukit Bunga berpunca daripada tindakan anggotanya mengejar sebuah lori.

Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, semasa kejadian, anggota JPJ sedang melaksanakan rondaan rasmi sempena Op Hari Raya Aidilfitri 2026 dan mematuhi prosedur operasi serta peraturan lalu lintas yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN