AWES 2025 fokus hapus jurang gender, jangka lonjak 8.2% KDNK 

AWES 2025 fokus hapus jurang gender, jangka lonjak 8.2% KDNK 

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz (empat dari kiri) semasa Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penghapusan jurang gender dijangka mampu melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 8.2 peratus serta menyumbang nilai ekonomi mencecah AS$50 bilion (RM211.57 bilion) pada tahun ini.

Isu penghapusan jurang gender antara tumpuan utama Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 (AWES 2025) yang merupakan acara rasmi di bawah Tonggak Ekonomi Pengerusi ASEAN Malaysia 2025, diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penganjuran AWES 2025 mencerminkan visi Malaysia MADANI serta komitmen negara terhadap pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia mengiktiraf bahawa pemerkasaan ekonomi wanita bukan hanya satu tuntutan moral, malah keperluan ekonomi. 

“Dengan KDNK ASEAN kini mencecah AS$3.9 trilion (RM16.50 trilion) memperkukuh kepimpinan wanita adalah penting bagi menjamin daya saing dan daya tahan serantau,” katanya dalam ucapan Pelancaran Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) di sini hari ini.

Bertemakan `Memperkasa Wanita, Memacu ASEAN’, sidang kemuncak yang menghimpunkan lebih 700 delegasi termasuk menteri dan tokoh industri ini menekankan peranan wanita sebagai peneraju ekonomi serantau dalam menghadapi cabaran global dan digital.

Menurut Tengku Zafrul, populasi wanita di Malaysia kini mencecah 16.2 juta atau hampir 50 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk, manakala seramai 334 juta daripada populasi ASEAN terdiri daripada wanita. 

“Di peringkat Asia dan Pasifik pula, masing-masing dianggarkan sebanyak 2.3 bilion dan 4.7 bilion adalah wanita.

“Bagaimanapun, penyertaan wanita dalam tenaga kerja di ASEAN hanya sekitar 48 peratus, manakala di Malaysia sedikit lebih tinggi iaitu kira-kira 56.2 peratus. 

“Namun, hanya 27 peratus wanita di ASEAN memegang jawatan kepimpinan, selain lebih 30 peratus berdepan halangan berbanding lelaki untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan.

“Sebagai pemimpin ASEAN, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta, kita bertanggungjawab memastikan wanita dihormati dan bukannya ditakuti dalam landskap perubahan ini,” ujarnya. 

Katanya, menjelang Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045, Malaysia perlu membuat pilihan kritikal, sama ada menerima pembangunan yang inklusif atau terus berdepan risiko stagnasi. 

Beliau berkata, kajian juga menunjukkan bahawa kesaksamaan gender berpotensi menyumbang sehingga AS$12 trilion (RM50.78 trilion) kepada KDNK global pada tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, memperkasa wanita untuk menerajui di semua peringkat merupakan satu keperluan ekonomi dan bukan lagi pilihan.

“Apabila ASEAN berkembang dengan pelbagai peluang dan cabaran, kepimpinan inklusif menjadi keperluan utama bagi memastikan kemakmuran yang mampan. UOB berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini, menyokong pertumbuhan inklusif di rantau ini,” katanya.

UOB Malaysia merupakan Penaja Utama AWES 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN